Panasnya Hari Ini

MCA Takut Bayang-Bayang Sendiri – Takiyuddin

KOTA BHARU – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai disifatkan membuat kenyataan yang tidak realistik dan takut pada bayang-bayang sendiri apabila mengancam membubarkan Barisan Nasional (BN) atau menendang UMNO daripada gabungan itu kerana bekerjasama dengan Pas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, MCA diharap bertindak matang dan bersikap lebih terbuka serta menunjukkan semangat demokratik, bukannya menyerang atau mengugut pihak lain bagi menutup prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Apakah Pas juga yang menyebabkan rekod politik MCA terjunam teruk dengan hanya memenangi satu kerusi Parlimen sahaja dalam PRU-14?” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini, lapor Utusan Online.

Semalam, Tiong Lai dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa MCA boleh menyingkirkan UMNO keluar daripada BN jika parti itu bekerjasama dengan Pas kerana menganggap gabungan tersebut sebagai bersifat perkauman dan keagamaan.

Katanya, MCA menolak sebarang hubungan rasmi UMNO dengan Pas melainkan kerjasama dalam isu tertentu.

Takiyuddin dalam pada itu berkata, selepas kehilangan sokongan orang Cina kepada DAP, MCA bertindak menyalahkan Pas yang kononnya tidak mempertimbangkan realiti masyarakat majmuk di Malaysia dan tidak mementingkan keharmonian kaum.

“Pimpinan MCA dalam hal ini bolehlah melawat Kelantan dan Terengganu dengan dada yang lapan untuk melihat sama ada wujud keharmonian kaum serta keamanan hidup di sana

Selain itu kata beliau, MCA berhak menyokong atau menentang sesuatu perkara seperti kerjasama UMNO-Pas , namun pihaknya agak kabur tentang telahan Tiong Lai terhadap parti itu.

“Semua pihak amat maklum bahawa Pas adalah sebuah parti politik yang berdaftar secara sah, bersikap demokratik dan bergerak dalam kerangka undang-undang negara dan perlembagaan parti,” katanya.

Beliau menambah, Pas sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk MCA, demi kebaikan rakyat dan negara.

“Walaupun MCA seolah-olah menafikan kerjasama dengan Pas semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong baru-baru ini, mereka perlu sedar Pas bukan sahaja bekerjasama dengan UMNO atas dasar solidariti pembangkang, tapi juga dengan MIC dan beberapa parti serta individu lain lagi, “katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");