Perak Hari Ini

Howard Nafi Dakwaan Lokasi Penginapan Sukma Di ILP Uzur

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How menafikan satu laporan media tempatan yang mendakwa lokasi penginapan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 di Institut Latihan Perindustrian (ILP), dekat sini, berada dalam keadaan uzur.

Malah beliau turut menyifatkan kenyataan sumber laporan yang bertajuk ‘Penginapan uzur jejas atlet’ itu sebagai suatu tindakan yang kurang bertanggungjawab.

Laporan itu menulis Kontinjen Badminton Kelantan berasa tidak selesa dengan keadaan asrama yang didiami mereka selain mendakwa tilam berada dalam keadaan usang, lokar yang pecah serta bilik air yang tidak dapat digunakan.

Jelas Howard, pada awal pagi semalam, beliau telah mengadakan satu perjumpaan dengan semua 15 ketua dan wakil kontinjen yang bertanding bagi mendapat maklumbalas berkenaan sebarang isu di Sukma Perak 2018.

Ujarnya beliau tidak menerima sebarang aduan mahupun rungutan daripada mana-mana wakil kontinjen.

Tambahnya, selepas laporan berita itu tersebar petang semalam, wakil-wakil penganjur bergegas ke ILP bagi mendapatkan gambaran sebenar dan hasilnya kesemua mereka yang menginap di situ berpuas hati.

Rakaman video temu bual dengan ketua kontinjen badminton Kelantan dan beberapa atlet di situ turut dipaparkan di hadapan semua pemberita dalam satu sidang media di Pusat Media Sukma Perak 2018, di sini, petang tadi.

Selain itu, berhubung kenyataan yang menyebut terdapat wakil kontinjen yang keluar dari lokasi penginapan dan seterusnya menginap di luar, Howard berkata ia merupakan inisiatif mereka sendiri yang mahukan lokasi penginapan yang lebih selesa.

“Memang ada yang berbuat demikian tetapi ia terpulang kepada mereka. Kami memang tidak sempurna. Kita tidak mampu sediakan lokasi penginapan setaraf hotel mewah.

“Memang ada loker yang berconteng tetapi ia boleh digunakan malah ada yang telah diperbaiki. Dari sudut penganjur, kami telah sedaya upaya menyediakan yang terbaik untuk semua kontinjen,” katanya, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, atlet-atlet badminton Sabah, Sarawak, Perlis, Kelantan dan Pahang sepatutnya dipindahkan ke lokasi penginapan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak Kampus Tapah namun selepas satu rundingan diadakan, kesemua mereka mahu tinggal di daerah Kinta.

ILP pada asalnya hanya lokasi penginapan untuk atlet menembak yang sepatutnya daftar masuk ke situ pada hari ini.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Nur Ramziyah Muhammad Halil yang turut hadir ke sidang media itu berkata, perpindahan lokasi penginapan ke ILP merupakan langkah drastik penganjur.

Jelasnya, PKNP yang bertindak sebagai pengurus lokasi penginapan dan makanan terlebih dahulu sudah pun membuat tinjauan di ILP.

“Semua isu kerosakkan yang dilaporkan telah kami ambil tindakan. Ada yang mengatakan terdapat tandas yang rosak. Untuk sementara waktu, kita telah sediakan 16 buah tandas bergerak,” ujarnya.

Pada perkembangan sama, ketika ditanya tentang kesediaan kerajaan negeri dalam menganjurkan Para Sukma 2018, Howard berkata pihaknya akan menggunakan segala kemudahan yang tersedia selain akan menambah baik sebarang kekurangan yang ada sehingga ia mencapai standard untuk kegunaan atlet para.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");