Berita Hari Ini

Kabinet Lulus Kadar Gaji Minimum Swasta

SEPANG: Kabinet hari ini meluluskan kadar gaji minimum baharu bagi sektor swasta yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menyifatkan ia berita gembira kepada rakyat negara ini, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata buat masa ini, beliau tidak mahu mendedahkan butirannya.

“Saya bentangkan hari ini dan satu keputusan bersama dicapai di Kabinet hari ini. Ini ada berita positif untuk semua pekerja yang menerima gaji minimum. Sekarang, kita tunggu Perdana Menteri umumkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Kontinjen Negara dari Asian Skills Competition (ASC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Setakat ini, gaji minimum sektor swasta yang diterima di Sabah dan Sarawak sekitar RM800 hingga RM920, manakala di Semenanjung sebanyak RM1,000 sebulan.

Mengulas pencapaian kontinjen negara, Kulasegaran berkata, pencapaian 48 peserta yang bertanding itu akan menjadi pemangkin dan semangat bagi meneruskan misi membolot pingat emas di WorldSkills Kazan, Russia tahun depan.

“Kementerian Sumber Manusia bersama Kementerian Kerja Raya akan terus mempergiatkan usaha dan melaksanakan pelbagai strategik dalam memastikan Malaysia berjaya memperoleh pingat emas pada pertandingan akan datang.

“Saya amat berbangga dengan komitmen semua yang terbabit menjayakan misi ASC kali ini. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk daripada agensi, industri, pakar dan jurulatih,” katanya.

ASC 2018 yang berlangsung di Bangkok, Thailand itu berjaya membawa pulang 31 pingat iaitu empat emas, satu perak dan lima gangsa serta 21 medal kecemerlangan daripada 24 bidang yang dipertandingkan, sekali gus meletakkan Malaysia di tempat keempat keseluruhan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");