Berita Hari Ini

Lawatan Buka Lembaran Baharu Dasar Luar Malaysia

PUTRAJAYA: Lawatan kerja Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri Sesi Ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat mulai Rabu ini hingga 29 September ini akan membuka lembaran baharu berhubung dasar luar Malaysia selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata biarpun lawatan kerja itu bukan yang pertama bagi Dr Mahathir ke UNGA, namun ia yang pertama sebagai Perdana Menteri ketujuh serta mengetuai kerajaan baharu.

Beliau berkata, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan pada sesi Debat Umum dengan inti patinya dijangka berkaitan isu antarabangsa dan globalisasi, sekali gus menjadi butiran penting berkaitan dasar luar baru Malaysia dalam era Malaysia Baharu termasuk terus mempertahankan pendirian negara yang berprinsip mengenai isu-isu antarabangsa.

Tema bagi sesi Debat Umum pada tahun ini adalah ‘Making the United Nations Relevant to All People: Global Leadership and Shared Responsibilities for Peaceful, Equitable and Sustainable Societies’.

Menurutnya, Perdana Menteri dijangka memberi penekanan baru terhadap Dasar Pandang Ke Timur supaya ia dihidupkan semula selain memandang semula ke arah benua Afrika.

“Selain itu, ada dua elemen baru yang akan dilihat termasuk Hak Asasi Manusia dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Jadi, itu adalah parameter kepada dasar baru berkenaan.

“Kita tidak mahu bercakap mengenai apa yang lepas tapi apa yang penting, kerajaan baru mahu keseimbangan hubungan dengan semua negara termasuk negara kuasa besar.

“Kita akan melihat (semula) benua Afrika dengan lebih serius berbanding kerajaan terdahulu,” katanya pada taklimat media sempena lawatan berkenaan di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Ditanya sejauh mana dasar luar dulu seperti konsep Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) tersasar ketika era kerajaan terdahulu, Saifuddin berkata, kerajaan hari ini, prinsip asas dasar luar Malaysia harus kekal termasuk ZOPFAN kerana kita ingin berkawan dengan semua negara termasuk meletakkan ASEAN pada tangga teratas dalam perhubungan itu.

Saifuddin berkata, delegasi Dr Mahathir akan disertai isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, beliau sendiri serta dua menteri Kabinet iaitu Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad serta pegawai kanan Wisma Putra diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Ramlan Ibrahim dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Beliau berkata, Perdana Menteri juga akan mengadakan dialog dengan ahli-ahli United States Council on Foreign Relations yang akan membincangkan situasi di dalam Malaysia serta hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat serta negara-negara Asia.

Selain itu, katanya, Perdana Menteri juga akan menyertai Bloomberg Global Business Forum dalam sesi perbincangan panel bertajuk, ‘Emerging Global Trade Relationships’ (Kemunculan Hubungan Perdagangan Global) serta menyampaikan ucapan mengenai ‘Insights on How Malaysia will Meet the Challenges Confronting the Security, Prosperity and Sustainability in Asia’ (Wawasan bagaimana Malaysia akan memenuhi cabaran menghadapi soal keselamatan kemakmuran dan kemapanan di Asia) di Asia Society.

Menurutnya, Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucaptama di acara ‘Achieving SDGs: Unleashing the Potential of Islamic Finance’ (Mencapai SDG: Mendedahkan Potensi Kewangan Islam) di Ibu Pejabat PBB yang dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Program Pembangunan PBB (UNDP) dan Bank Pembangunan Islam (IDB).

Saifuddin berkata, sepanjang lawatan itu juga, beliau turut mempunyai jadual berbeza termasuk menghadiri beberapa mesyuarat dan persidangan yang diadakan sempena Sesi Ke-73 UNGA Perhimpunan Agung PBB, antaranya Nelson Mandela Peace Summit; High-Level Meeting of the Group of Friends of Mediation; dan Ministerial Meeting of the UN Alliance of Civilisations.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");