Berita Hari Ini

Lesbian Menangis Ketika Jalani Hukum Sebat

KUALA TERENGGANU: Kelibat seorang pegawai penjara wanita berbadan besar dan tegap memegang rotan di tangan kanan mengundang debar pada mereka yang datang menyaksikan pelaksanaan hukuman ke atas dua wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis.

Hukuman itu yang dijalankan di bilik mahkamah Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini, hari ini adalah yang pertama kali berlaku di negara ini membabitkan kesalahan seumpamanya dan disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie.

Namun apabila hukuman telah dijalankan, barulah mereka yang hadir sedar bahawa benarlah kata-kata Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail ketika di awal prosiding bahawa hukuman itu adalah berbentuk pengajaran dan bukannya untuk mencederakan.

Tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku, malah ketika rotan hinggap di tubuh badan tertuduh, tiada jeritan kedengaran kerana pegawai penjara itu masih perlu mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu menggunakan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala tertuduh.

Tertuduh pertama berusia 32 tahun itu dilihat mengalirkan air mata selepas hukuman rotan enam kali itu selesai tetapi tertuduh kedua (22 tahun) sebak seketika apabila menerima sebatan ketiga dan terpaksa dihentikan seketika sebelum menyambung tiga sebatan seterusnya.

Dua wanita itu dihukum sebat enam kali hari ini kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

Selain itu, kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.

Beberapa pihak turut terlibat dalam pelaksanaan hukuman itu, iaitu pegawai perubatan, pegawai penjara dan juga kakitangan mahkamah.

Selepas Hakim Syarie memberi kebenaran pelaksanaan hukuman, pegawai penjara memanggil nama tertuduh dan kemudiannya tertuduh di bawa ke hadapan pegawai penjara untuk mengesahkan identiti mereka seperti dalam rekod.

Pegawai penjara juga bertanya kepada kedua-dua tertuduh, yang berbaju kurung dan bertudung putih, sama ada mereka ingin mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

Selepas pegawai perubatan mengesahkan tahap kesihatan tertuduh dan tertuduh bersedia menerima hukuman sebat, tertuduh dibawa ke satu sudut bilik mahkamah dengan duduk di atas kerusi membelakangi mereka yang berada di galeri awam.

Muka tertuduh dipusing ke bahagian kanan manakala pegawai penjara yang melaksanakan hukuman berdiri di sebelah kiri.

Hukuman rotan bagi kedua-dua tertuduh bermula 10.10 pagi dan secara berturut-turut dalam tempoh tidak sampai 3 minit setiap seorang.

Kronologi Hukuman Sebat Pasangan Lesbian

8.30 pagi – Kedua-dua pesalah wanita berusia 22 dan 32 tahun berkenaan hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu secara berasingan sambil ditemani ahli keluarga dan rakan-rakan.

8.45 pagi – Mereka diarahkan menukar pakaian dengan mengenakan baju kurung dan tudung serba putih yang disediakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

9 pagi – Wakil NGO, Persatuan Peguam, Persatuan Peguam Syarie, Wakil media mula berkumpul di Tingkat 4 Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.

9.30 pagi – Kira-kira 100 orang wakil NGO, persatuan peguam, persatuan peguam syarie, ahli keluarga dan wakil media dibenarkan memenuhi Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu bagi menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah.

9.55 pagi – Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun dan Hakim Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail masuk ke kamar untuk memulakan pelaksanaan hukuman.

10 pagi – Hakum Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail memberikan kata-kata pendahuluan terhadap kes sebelum pelaksanaan hukuman dijalankan.

10.05 pagi – Pesalah pertama berusia 32 tahun dipanggil masuk ke dewan dengan diiringi pegawai wanita penjara yang berpenutup muka sebelum pegawai perubatan mengesahkan tahap kesihatan pesalah yang layak untuk menjalani hukuman.

10.08 pagi – Tukang sebat wanita pertama dari Penjara Wanita Kajang dipanggil masuk ke dewan sebelum pegawai pengiring mengarahkan pesalah duduk di atas kerusi yang disediakan dan menyinsingkan tudung pesalah ke paras bahu dengan membelakangkan pemerhati.

10.10 pagi – Hukuman sebatan sebanyak enam kali dilaksanakan terhadap pesalah.

10.11 pagi – Hukuman sebatan selesai dilaksanakan terhadap pesalah.

10.15 pagi – Pesalah kedua dipanggil masuk ke dewan dengan menjalani prosedur sama seperti pesalah pertama.

10.16 pagi – Hukuman sebatan sebanyak enam kali dilaksanakan oleh tukang sebat kedua dari Penjara Wanita Kajang.

10.17 pagi – Hukuman sebatan selesai dilaksanakan terhadap pesalah.

10.18 pagi – Mahkamah ditangguhkan dan orang ramai mula beredar dari Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");