Berita Hari Ini

Mapim Bidas Siti Kasim

ALOR SETAR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyelar kenyataan peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim yang didakwa menghina Islam dan Melayu dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, baru-baru ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia tidak sewajarnya berlaku kerana kritikan terhadap agama atau kaum lain tidak dibenarkan dalam negara.

Menurutnya, tuduhan Siti Kasim terhadap umat Islam Melayu adalah tidak berasas, bersifat provokasi, menghina serta berbentuk fitnah.

“Antaranya, asimilasi nilai-nilai Islam dalam tadbir urus kerajaan dikatakan penyebab kemunduran Melayu, serta ketidakupayaan bersaing dengan kaum lain. Siti Kasim dakwa Melayu yang membentuk lebih 60 peratus daripada penduduk Malaysia tidak produktif dan bersifat parasit dan bergantung kepada industri serta tenaga buruh dikelola kaum Cina dan India,” katanya, lapor Sinar Online.

Menurutnya, Siti Kasim turut mempertikai sama ada masyarakat Melayu, yang bersifat insular dan tahayul dalam pemikiran boleh bersaing secara kompetitif dengan penduduk bukan Islam.

“Tuduhan beliau konon­nya orang Melayu di universiti, GLC dan perkhidmatan awam mengakibatkan perkem­bangan universiti tidak kompetitif, kumpulan siswazah Melayu yang tidak berupaya dalam sektor swasta serta paling ramai bekerja di sektor awam, kegagalan GLC serta pentadbiran yang korup,” katanya.

Menurutnya, Mapim kesal dengan tindakan beliau merumuskan agama Islam sebagai ejen memporak-perandakan nasib orang Melayu.

“Mengejutkan seorang peguam yang dilatih berfikir secara logik dan rasional menghasilkan nukilan seperti ini. Dari mana sumber hubung kait kemunduran Melayu kepada Islamisasi. Adakah berdasarkan kajian atau rujukan laporan berkredibiliti? Atau sekadar tuduhan berpaksikan sentimen dan prasangka buruk terhadap Islam?,” katanya.

Mohd Azmi turut menempelak Siti Kasim kerana menggelar Melayu sebagai parasit.

“Beliau menuduh bahawa orang Melayu berpuas hati dengan norma-norma kehidupan yang mencerminkan nilai-nilai pentaksub agama yang tidak produktif,” katanya.

Beliau berkata, Siti Kasim wajar memohon maaf kepada orang Melayu Islam selain menarik balik dakwaan tidak berasas tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");