Panasnya Hari Ini

PRM Sedia Bertanding PRK Port Dickson

BUTTERWORTH: Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 13 Oktober hadapan.

Presidennya, Mohd Hashim Saaludin, berkata seramai tiga individu bersesuaian sudah pun disenarai pendek sebagai calon yang akan menentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada PRK Port Dickson itu.

Difahamkan, Mohd Hashim adalah antara tiga calon yang disenarai pendek yang akan mewakili PRM pada PRK Parlimen Port Dickson.

“Kita akan bermesyuarat bagi memilih calon untuk mewakili PRM pada PRK Parlimen Port Dickson dalam tempoh terdekat dengan pengumumannya bakal dibuat selepas itu.

“Kita juga ingin mengumumkan bahawa PRM sudah bersedia untuk bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson,” katanya pada sidang media di sini, hari ini, lapor BH Online.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Port Dickson pada 29 September dan tarikh pengundian awal pada 9 Oktober dengan tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari sehingga 11.59 malam 12 Oktober.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk G Kumar Aamaan dan personaliti Twitter, Stevie Chan Keng Leong mengesahkan akan menentang Anwar selepas penyandang Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, meletak jawatan pada 12 September lalu.

Kumar Aamaan dilapor memilih untuk bertanding atas tiket bebas berikutan kenyataan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, bahawa parti itu tidak akan bertanding pada PRK Parlimen berkenaan.

Ditanya kesediaan PRM berhadapan pencabarnya, Anwar pada PRK berkenaan, Mohd Hashim berkata, pihaknya sudah bersedia untuk mencabar PKR.

“Menang atau kalah tidak menjadi isu, sebaliknya tumpuan kita adalah untuk mengetengahkan isu berkaitan rakyat yang dilakukan sejak penubuhan PRM pada tahun 1955.

“Ini kerana, keadaan politik dan ekonomi negara dilihat tidak stabil, sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Ramai menteri mengumumkan dasar tanpa kajian terperinci, mahu pun mengambil pandangan rakyat. Ini mengakibatkan banyak pusingan U dibuat dalam kalangan mereka, khususnya dalam isu berkaitan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR),” katanya.

Beliau berkata, PH juga masih gagal menunaikan janji untuk memansuhkan tol seperti yang tertera dalam manifesto pakatan itu pada PRU-14 lalu, selain PAS dan UMNO juga dilanda masalah dalaman.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");