Berita Hari Ini

Saya Tak Salah, Kata Jho Low Di Laman Web Peribadinya

Bulan lalu, kenyataan yang tertera pada laman web www.jho-low.com itu berbunyi “selamat datang ke laman web peribadi Jho Low, seorang dermawan global, pelabur dan usahawan”.

Namun versi terkini laman web itu kini berbunyi “laman web ini menyediakan maklumat dan fakta, dokumen mahkamah dan bahan-bahan lain bagi pihak Jho Low, seorang dermawan global, pelabur dan usahawan yang telah dikenalpasti oleh pelbagai pihak sebagai individu dalam apa yang dikenali sebagai saga 1MDB.

“Mr Low juga akan memberikan komen dan pendapat, serta kenyataan umum melalui jurucakapnya dan pasukan perundangan. Low kekal menegaskan tidak bersalah dan percaya beliau akan buktikan apabila semua bukti yang relevan dibentangkan di mahkamah yang adil.

“Pengunjung digalakkan untuk kembali ke laman web ini bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa,” katanya.

Laman itu juga memaparkan surat ditandatangani Jho Low, menyatakan ia bertujuan untuk menentang tuduhan terhadapnya berhubung skandal 1MDB, yang digambarkan sebagai kes ‘kleptokrasi terburuk dalam sejarah’ oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

“Banyak tuduhan itu datang dari blog, maklumat bocor yang tidak betul dari agensi-agensi kerajaan seluruh negara atau tuduhan yang tidak dibuktikan di mahkamah, yang saya tidak pernah diberikan kesempatan untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Laman web ini adalah satu usaha untuk mengubahnya,” katanya.

Low dalam surat tersebut, berkata objektif laman web itu adalah untuk menyediakan “pandangan seimbang” terhadap tuduhan dan menyatakan “kebenaran”.

“Biar saya jelaskan: Saya tidak bersalah. Lihat kembali, saya mungkin lakukan perkara berbeza seperti anak muda lain, namun apa-apa kesilapan saya tidak seteruk seperti dakwaan dibuat terhadap saya.”

Jelasnya, beliau mahu laman web itu menerangkan fakta dan cerita sebenar yang telah dipesongkan sejak sekian lama.

“Saya hanya minta semua pihak – mahkamah, pendakwa dan orang ramai bersikap terbuka sehingga semua bukti menjadi jelas,” katanya.

Entiti disebut dalam DOJ dipadamkan

Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Low bulan lepas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

Bagaimanapun tiada sebarang penunjuk bahawa jutawan kelahiran Pulaiu Pinang itu berhasrat kembali ke Malaysia untuk bertemu pihak penyiasat.

Low dalam suratnya berkata beliau memiliki pendapat tersendiri mengenai kedaulatan undang-undang, rasuah politik dan proses keadilan di Malaysia serta mahu perkara itu jelas kepada umum.

Di halaman butiran ‘Mengenai Jho Low’ dalam web yang dikemaskini itu, rujukan terhadap firma Jynwel Capital Limited dan Jynwel Charitable Foundation Limited yang dikaitkan dengan jutawan itu juga telah dipadamkan.

Penerangan terdahulu yang menyatakan Low “menyelia strategi operasi dan pelaburan bagi firma itu dan menjalin perkongsian seumur hidup dengan pelabur penting di Asia dan Timur Tengah, seperti dana kekayaan negara terkemuka, syarikat pelaburan antarabangsa utama dan syarikat keluarga besar” juga dihapuskan.

Sebaliknya, laman web yang dikemaskini itu hanya memberikan penerangan ringkas berbunyi: Low Taek Jho adalah pelabur dan dermawan global yang telah melabur dalam banyak syarikat, pembiayaan, penyusunan semula dan projek pelaburan lain yang pelbagai dan rumit di pelbagai sektor.

“Sektor ini termasuk media dan hiburan, penggunaan dan peruncitan, sumber dan tenaga, hartanah dan perhotelan, besi, komoditi dan infrastruktur”.

Keterangan lain dalam web itu menyebut mengenai anugerah yang dimenanginya dan latar belakang pendidikan beliau.

Hubungannya dengan pelbagai entiti seperti Viceroy Hotel Group, The Electrum Group dan EMI Music Publishing, yang sebelum ini disenaraikan dalam versi laman web lama, juga telah dikeluarkan.

DOJ mendakwa Low memperoleh kepentingan dalam entiti-entiti tersebut dengan menggunakan dana 1MDB yang didakwa diseleweng.

Secara keseluruhan, DOJ percaya sekurang-kurangnya AS$ 4.5 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB dan Low memainkan peranan utama dalam penyelewengan tersebut.

Pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti sebahagian daripada dana ini dimasukkan ke akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku atau mengambil dana awam untuk keuntungan peribadi.-Mkini

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");