Berita Hari Ini

Syed Saddiq: Polis Jamin Aktivis Pelajar Akan Dibebaskan

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau telah bertemu pihak polis berhubung penahanan lapan aktivis pelajar yang melakukan demonstrasi aman pagi ini.

Katanya, pihak polis juga memberi jaminan kesemua mereka akan dibebaskan dan dakwaan berlaku kekasaran akan disiasat.

“Sempat berjumpa dengan Pihak OCPD (ketua polis daerah), pegawai penyiasat dan penasihat undang-undang berkenaan penahanan lapan anak muda yang lakukan demonstrasi aman.

“Saya diberikan jaminan bahawa mereka akan dilepaskan dalam tempoh terdekat dan tuduhan layanan kasar ke atas mereka akan disiasat,” kata Syed Saddiq menerusi Twitter.

Syed Saddiq yang kini berada di Kota Kinabalu bagi menghadiri sambutan Hari Malaysia berkata, beliau juga telah menerima memo daripada aktivis pelajar berkenaan.

Setakat jam 4 petang, lapan aktivis pelajar itu masih berada di balai polis Karamunsing selepas ditahan di hadapan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Pihak berkuasa juga dilapor telah mengambil keterangan mereka.

Malaysiakini sebelum ini memetik salah seorang aktivis yang ditangkap, Asrin Utong mendakwa polis bertindak kasar ketika menahan mereka.

Dalam klip video yang dikongsikan salah seorang peserta demonstrasi, Mukmin Nantang di Facebooknya menunjukkan mereka yang enggan bersurai bergelut dengan pegawai DBKK dan polis.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohamad Ithnin turut mengutuk penangkapan itu.

Bagaimanapun portal The Malay Mailmemetik Timbalan Menteri daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) Azis Jamman mengatakan protes itu “tidak perlu” kerana kerajaan terbuka untuk perbincangan.

Beliau juga dilaporkan membidas Ketua Pemuda AMANAH Sabah Khairuddin Daud kerana melakukan protes berkenaan.

Secara berasingan, Azis dalam hantaran di Facebook berkongsi gambar ketika menemani Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal melawat Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan pemimpin AMANAH lain yang menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia malam ini.

Azis juga berkata beliau maklum tentang insiden berkenaan dan mengenai penangkapan Khairuddin, namun tidak menjelaskan lanjut sama ada terdapat sebarang perbincangan dengan pemimpin tertinggi AMANAH mengenai perkara itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");