Perak Hari Ini

‘Tajuddin Ahli Politik Kecewa, Tidak Matang’

IPOH: Ketua Pemuda Harapan (PH) Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menyifatkan tindakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dalam memainkan isu perkauman dan institusi diraja sebagai tindakan individu yang kecewa kerana kehilangan kuasa.

Beliau mengulas tentang klip video berdurasi 3.32 minit, bersempena program Himpunan Melayu Bangkit anjuran Umno Pasir Salak yang tular dan disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp sejak semalam.

Tajuddin yang berucap dalam video berkenaan mendakwa Orang Melayu telah kehilangan kuasa dan berpecah belah.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut mendakwa kononnya institusi agama Islam dan diraja juga turut tergugat.

Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri turut melahirkan rasa bimbangnya terhadap penyebaran video berkenaan dan menyifatkan ianya boleh merenggangkan hubungan masyarakat yang berbilang kaum di Perak.

Tambahnya, ‘watak’ Tajuddin juga amat dikenali sebagai seorang ahli politik yang sering cuba mewujudkan api perbalahan antara kaum sejak sekian lama.

“Pada saya beliau bukan pemimpin yang matang dan tidak boleh menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia telah bertindak matang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan memilih PH.

“Pada saya juga, Umno dan Barisan Nasional masih lagi tidak belajar dengan kesilapan mereka. Mereka mengulangi kesilapan lama iaitu menggunakan isu perkauman dan agama,” katanya.

Selain itu beliau turut menggesa agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya kepada Tajuddin berhubung kenyataan beliau dalam video berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, dekat sini, pada Sabtu.

Laporan polis sepatutnya dibuat pada hari yang sama namun, atas sebab-sebab tertentu melibatkan teknikal ianya ditunda pada waktu lain.

Sementara itu, Hasnul turut mengesahkan bahawa perkara tersebut telah pun dimaklumkan kepada Pengerusi PH Negeri, merangkap Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, sejurus beliau mendapat kiriman video Tajuddin semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");