Perak Hari Ini

Tidak Akan Tutup Pusat Tahfiz – Asmuni

IPOH: Kerajaan Perak tidak akan mengambil langkah drastik untuk menutup semua sekolah agama Islam ataupun pusat tahfiz yang didapati tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa dalam masa terdekat ini, sebagaimana yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata pihaknya akan memberikan pertimbangan ataupun suatu tempoh masa bagi membolehkan semua pusat tahfiz di Perak yang masih belum mendaftar dapat segera berbuat demikian.

Katanya, suatu perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Negeri (Jaipk) akan diadakan bagi menetapkan suatu tempoh masa yang munasabah untuk pusat tafhiz tersebut melakukan proses pendaftaran.

Namun, jika didapati pusat tahfiz tersebut masih lagi belum mendaftar, Asmuni tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri turut akan mengikut jejak langkah DBKL.

“Paling penting di sini ialah aspek keselamatan dan pengurusan. Kalau tidak menepati syarat, tentunya kita merasakan ia tidak sesuai dibangunkan pusat tahfiz.

“Oleh sebab itu, saya meminta agar mana-mana pusat tahfiz yang telah mendaftar, atau pendaftaran mereka ditolak supaya segera mengambil langkah-langkah memperbaiki kelemahan. Soal keselamatan kita tidak berkompromi kerana ia melibatkan nyawa,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini Perak tidak mempunyai sebarang kes jenayah serius melibatkan institusi tahfiz.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad berkata DBKL akan menutup semua pusat tahfiz yang didapati tidak berdaftar dengan pihak berkuasa serta beroperasi secara haram.

Ia susulan berita sebuah pusat tahfiz di Kepong, Ibu Negara, yang mana pengetuanya didakwa di mahkamah kerana dipercayai meliwat sembilan pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun dan pusat tahfiz tersebut didapati beroperasi secara haram.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");