Perak Hari Ini

Vanue Penginapan Sukma Sekolah Izuddin Shah Dipindahkan Ke UiTM Tapah

IPOH: Lokasi penginapan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 di Sekolah Izzudin Shah akan dikosongkan dan ianya dipindahkan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak kampus Tapah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembagunan Belia dan Sukan Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata ia diputuskan ekoran laporan media tempatan yang melaporkan keadaan sebahagian daripada asrama di sekolah tersebut berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.

Laporan itu menulis bahawa skuad badminton lelaki Pulau Pinang yang sepatutnya tinggal disitu kemudiannya mengambil inisiatif sendiri dengan mencari tempat penginapan di luar.

Howard, mewakili kerajaan negeri dan selaku pihak penganjur memohon maaf kepada mereka dan menawarkan tempat penginapan di UiTM Tapah yang turut bakal berkongsi dengan atlet angkat berat.

Berhubung kos, beliau berkata kerajaan negeri akan menanggung segala kos tambahan ekoran kekhilafan tersebut.

Jelasnya, pemilihan Sekolah Izuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah dibuat setelah penarikan diri Kolej Vokasional Ipoh kerana jadual penginapan atlet bertindih dengan jadual pembelajaran yang tidak dapat dihabiskan bagi semester ini.

Tambahnya lagi, pihaknya telah dimaklumkan pihak yang bertanggungjawab bahawa kerja-kerja penambahbaikan tempat penginapan di semua vanue penginapan telah selesai namun ia berlaku sebaliknya.

“Saya masih menyiasat tentang apa yang berlaku namun sekarang ini, kita bukan hendak mencari salah siapa.

“Kini kita harus memberi fokus dalam menyediakan tempat penginapan yang selesa kepada semua atlet dan kontinjen,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Majlis Sukan Negeri, dekat sini, pada Ahad.

Selain itu katanya, pihaknya akan menghubungi kesemua atlet yang telah keluar daripada asrama sekolah berkenaan yang akan cuba berunding untuk mereka dipindahkan ke Tapah.

“Saya sudah hubungi ketua kontinjen Pulau Pinang dan memaklumkan pihak mereka memahami keadaan kita dan saya akan bersama dengannya untuk berbincang denganya pada esok,” ujarnya.

Pada masa sama, Howard turut menganggap kejadian ini sebahagian daripada pendedahan dan hikmah yang terbaik buat kerajaan negeri untuk memantau keadaan infrastruktur di seluruh sekolah di Perak.

Katanya isu ini tidak hanya melibatkan para atlet malah ianya juga turut melibatkan para pelajar yang selama ini menginap di asrama tersebut.

Vanue penginapan Sukma Perak 2018 di Sekolah Izuddin Shah menempatkan atlet-atlet tenpin boling lelaki, badminton lelaki dan kriket.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");