Panasnya Hari Ini

BERSATU Bakal Rombak Kepimpinan Negeri Dan Bahagian

KULAI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan membuat rombakan dan penyusunan semula organisasi itu pada peringkat negeri dan bahagian dalam usaha menyelesaikan masalah dalaman parti.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, menegaskan beberapa negeri akan menyaksikan rombakan Pengerusi Negeri selain peringkat bahagian yang akan dilakukan secara berperingkat.

Katanya, selepas BERSATU diperintah bubar sementara sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), banyak masalah dalaman, antaranya keciciran keahlian, ahli sabotaj parti dan sebagainya.

“(Menerusi) Usaha ini (rombakan) yang penting adalah struktur pentadbiran parti, kita mahu selesaikan secara berhemah dan tidak mahu berlarutan untuk tempoh agak lama.

“Jika ditanya saya tempoh masa untuk selesaikan masalah dalaman ini, esok saya mahu selesai, tetapi kita tidak mampu dan perlukan masa.

“Jadi bukan saja Johor hari ini yang menyaksikan rombakan Pengerusi Negeri, tetapi negeri dan bahagian lain juga,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis jelajah suai kenal bersama Setiausaha Agung BERSATU di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Marzuki mengumumkan kepemimpinan BERSATU pusat sudah sebulat suara dan memberi mandat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, dilantik sebagai Pengerusi BERSATU Johor, berkuat kuasa serta-merta.

“Yang Amat Berhormat (Osman) juga kita (kepemimpinan) sudah putuskan untuk menjadi Ketua Bahagian Ayer Hitam dan memulakan tugasnya menstruktur semula parti kita di negeri Johor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Marzuki memaklumkan BERSATU menubuhkan semula Jawatankuasa Lembaga Disiplin yang dipengerusikan Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas bagi melakukan pemutihan terhadap ahli parti yang melakukan sabotaj dan merosakkan imej parti dalam tempoh terdekat.

“Jawatankuasa Lembaga Disiplin pun sudah bermesyuarat minggu lalu dan selepas ini segala laporan kita akan selesaikan dalam masa terdekat supaya proses parti dapat berjalan dengan baik,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");