Jenayah

Denda RM70,000 Kekal

MELAKA: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak rayuan hukuman penjara difailkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas seorang gadis yang menjalankan perkhidmatan pergigian tanpa lesen sehingga kesnya menjadi tular, tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin mengekalkan hukuman denda RM70,000 terhadap Nur Farahanis Ezzaty Adli, 21, seperti yang diputuskan pada 29 September tahun lalu.

Ahmad Nasfy dalam penghakimannya menganggap hukuman penjara hanya wajar dilaksanakan ke atas pesalah tegar dan sekiranya hukuman itu menyebabkan masa depan seseorang terjejas serta tidak memberi sebarang faedah, maka ia tidak wajar diputuskan.

“Hukuman yang diputuskan hari ini mengambil kira tertuduh tidak lagi menjalankan perkhidmatan itu dalam tempoh setahun selepas dia dijatuhi hukuman denda pada September 2017.

“Saya berharap penyesalan yang awak lahirkan seperti mana yang dilaporkan di akhbar adalah ikhlas,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata, pihaknya percaya rayuan hukuman penjara yang difailkan KKM dibuat susulan berita itu tular selepas hukuman dijatuhkan dan mencetuskan pelbagai reaksi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya KKM Fairuz Syuhada Amran yang melakukan pendakwaan memfailkan rayuan memohon hukuman penjara dengan mengambil kira statistik kes seperti itu yang membimbangkan, selain ia seakan tidak memberi pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Haslinda Abu Bakar kemudian menegaskan kes itu mencetuskan kontroversi selepas tular di media sosial, bagaimanapun ia bukan dilakukan oleh tertuduh, selain tidak wajar rayuan terbabit dikemukakan.

“Hukuman sudah diputuskan tahun lalu dan dia juga sudah pun menjalani hukuman penjara enam hari,” kata Haslinda.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian mengekalkan hukuman denda RM70,000 ke atas Nur Farahanis.

NSTP pada 30 September tahun lalu melaporkan, berang didenda RM70,000 selepas mengaku bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen pada Januari, seorang gadis menumbuk dinding luar Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk melepas geram kerana berasakan hukuman itu terlalu berat buatnya.

Tertuduh selaku Orang Kena Saman (OKS) pada awalnya dijadual menjalani perbicaraan, namun menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail selepas mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");