Perak Hari Ini

‘Fenomena Lompat Parti’ Undang Pelbagai Reaksi Pengundi

IPOH: Semenjak Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi Pilihanraya Umum yang lalu, ‘fenomena’ lompat parti daripada kalangan segelintir ahli dan tokoh politik pembangkang dilihat mengundang pelbagai reaksi ramai khususnya dalam kalangan pengundi.

Seorang penjawat awam, Muhammad Izhar Jailani, 32 berpandangan fenomena lompat parti merupakan suatu budaya politik yang tidak sihat.

Selain ia seolah-olah mengkhianati pengundi yang memilih sesorang wakil rakyat itu atas tiket parti, dia berkata, perkara tersebut juga boleh membuatkan sesorang tokoh itu mula dipandang serong segelintir masyarakat khususnya para pengundi.

“Orang akan melihat wakil rakyat itu melompat parti kerana mahu ‘menyelamatkan’ karier politiknya dan ia bukanlah sesuatu yang baik.

“Ditambah pula jika wakil rakyat itu selama ini amat disanjungi rakyat kerana ketokohan dan pendiriannya.

“Apabila dia melompat parti, sudah tentu segelintir pihak akan mula memandang serong kepadanya,” katanya ketika ditemui Perak Today, hari ini.

Namun, bagi seorang ahli perniagaan, Mohd Hafiz Abd Raheem, 35, perihal lompat parti adalah sesuatu yang biasa malah menganggap ia merupakan sebahagian daripada cara meraikan sistem demokrasi negara.

Katanya, perubahan pendirian atau pandangan politik terhadap sesorang wakil rakyat itu bukanlah melambangkan kelemahan sebaliknya ia berlaku disebabkan kesedaran dan faktor semasa.

“Kita biasa melihat yang jika sebelum ini ada pengundi yang menyokong sesebuah parti itu kerana merasakan wadah perjuangannya benar.

“Tetapi setelah melihat perkembangan buruk dan gejala rasuah yang berleluasa terhadap parti yang disokongnya itu, maka pada pilihanraya yang seterusnya, dia bertindak memlilih parti lain. Itu cara kita meraikan demokrasi,” ujarnya.

Pandangan itu turut disokong rakannya, Ahmad Saifullah Sani yang mengatakan bahawa perkara seperti lompat parti bukan semata-mata untuk ‘survival’ politik malah jika dilihat dengan pandangan yang luas ia juga melibatkan ‘survival’ rakyat.

“Parti politik ini medium untuk sesorang itu menjadi ahli politik atau wakil rakyat yang mahu memperjuangkan hak-hak masyarakat.

“Jika wakil rakyat itu bagus dan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat namun pada masa sama dalam amalan parti beliau pula berlaku sebaliknya, bagaimana wakil rakyat itu mahu terus berkhidmat kepada rakyat.

“Apabila wakil rakyat tu melihat partinya sudah mula lari daripada perjuangan asal, maka tak salah jika beliau beralih kepada perjuangan parti yang lebih baik,” jelasnya.

Sementara itu, seorang kakitangan di sebuah syarikat swasta di sini, Thomas Chin, 29, berkata insiden ‘lompat’ ke parti-parti komponen PH harus dikawal supaya pihak yang selama ini menyokong PH tidak meragui perjuangan dan pendirian PH.

Dia juga bersetuju dengan pandangan segelintir pihak yang menggesa ahli-ahli politik yang melompat parti untuk bertanding sekali lagi di kawasan yang diwakilinya.

“Saya juga berharap agar insiden lompat parti tidak berlaku dek kerana mahukan ‘habuan’ tertentu. Jika ia berlaku maka tindakan harus diambil.

“Insiden lompat parti juga harus dikawal dan ditapis kerana kita tidak mahu pengundi melihat PH ini seolah-olah mahu menjadi seperti parti yang sebelum ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan selepas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed membuat keputusan untuk menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin, pula mendakwa seramai 40 Ahli Parlimen UMNO bakal mengikut jejak langkah ahli parlimen Jeli itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");