Perak Hari Ini

Gempa Indonesia: JAIPk Nasihat Umat Islam Salur Derma Pada Pihak Yang Dibenarkan Kerajaan

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menasihati orang ramai agar dapat menyalurkan sumbangan berhubung kejadian gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia menerusi saluran yang ditetapkan kerajaan mahupun agensinya.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata beliau menzahirkan kebimbangan tersebut ekoran kemungkinan akan ada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan berhubung kejadian tersebut.

“Saya bimbang akan ada pihak-pihak tertentu yang akan ambil kesempatan kerana ia pernah berlaku di Perak dahulu. Seperti ada yang membawa tabung derma ke masjid yang diragui kerana tidak ada kelulusan.

“Dalam keadaan kita hendak membantu saudara seagama kita di mana-mana sekali pun, saya ingatkan semua umat Islam supaya berhati-hati dengan mereka yang cuba ambil kesempatan, atas kemurahan rakyat di Perak, demi kepentingan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu majlis penyerahan sumbangan JAIPk berjumlah RM46.330 kepada Tabung Bencana Nusantara Aman Palestin di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut tentang sumbangan tersebut, Yusop menjelaskan tabung untuk sumbangan tersebut telah pun dilancarkan pada 5 Oktober lalu, di masjid dan surau di seluruh negeri, menerusi Khutbah Jumaat.

Usaha JAIPk menerusi ‘Tabung Bencana dan Kemanusiaan’ yang memasuki tahun ketiga penubuhannya itu bertujuan memberi kesedaran kepada umat Islam serta ianya juga sebagai saluran yang mahu menyalurkan bantuan buat mangsa gempa di Indonesia, baru-baru ini.

Katanya lagi, tabung tersebut tidak akan terhenti sebaliknya ia diteruskan selain turut mengalakkan lebih ramai pihak untuk terus menyalurkan sumbangan sebagai tanda sokongan kepada saudara seagama di negara jiran tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Aman Palestin Perak, Shahruzzaman Bistamam yang ditemui berkata, pihaknya menyambut baik usaha dan sumbangan yang dilakukan rakyat di negeri ini kepada JAIPk.

“Kini kita telah menghantar beberapa deligasi dan sumbangan sama ada di Lombok mahupun di Palu.

“Akhir-akhir ini, negara jiran kita mengalami gempa jadi sebagai saudara seagama, kita harus menjalankan tanggungjawab untuk merasai keperitan mereka dalam membantu dengan apa yang terdaya,” ujarnya.

Difahamkan sumbangan-sumbangan yang diterima akan disalurkan bagi bantuan keperluan asas seperti makanan serta khemah untuk dijadikan sekolah mahupun kediaman sementara kepada mangsa gempa.

Selain itu, tambah Shahruzzaman, Aman Palestin juga telah membangunkan aplikasi ‘Jom Menyumbang’ bagi memudahkan orang ramai memberikan sumbangan kepada organisasi bukan kerajaan itu, untuk ia disalurkan kepada pihak yang memerlukan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");