Jenayah

Lelaki Belasah Pekerja Petronas Didenda

Peniaga lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Tapah hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan mencederakan pekerja stesen minyak di Sungkai, awal bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Nuralif Shaufiq Ahmad Fauzi, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Nuralif didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohd Ridwan Abdullah, di stesen pam minyak Petronas, Sungkai, 12.45 tengah hari, 6 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri, manakala tertuduh diwakili peguam S Kavitha.

Kavitha merayu hukuman denda paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan sudah insaf dengan perbuatan dilakukannya.

Bagaimanapun, Fatin Farahiyah memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dijatuhkan terhadap tertuduh supaya kesalahan sama tidak berulang.

Mohd Harith kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 dan tertuduh bakal berhadapan penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu lapor NSTP.

Sebelum ini tertuduh telah ditahan pada Khamis lalu sebelum direman selama tiga hari keesokannya bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan aksi lelaki memukul pekerja stesen minyak.

Difahamkan, seorang lagi rakannya berusia 40 tahun yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Klip video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum dipukul hingga terjatuh dan dibaling objek pada 12.45 tengah hari, hari kejadian.

Menurut laporan polis dibuat mangsa berusia 24 tahun dan tinggal di Kampung Changkat Sulaiman, dekat sini, mendakwa, seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan mahu mengisi minyak di pam bernombor enam, namun tidak memaklumkan jenis minyak RON97 yang mahu diisi menyebabkan dia diberikan RON95.

Berdasarkan laporan itu, lelaki berkenaan tidak berpuas hati walaupun mangsa mendakwa sudah meminta maaf, namun tidak diendahkan lalu kumpulan lelaki terbabit menarik mangsa keluar dan seorang daripada mereka memukul dan membaling air tin ke arah mangsa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");