Berita Hari Ini

Tanjung Malim Lokasi Strategik Projek Kereta Nasional Ketiga

IPOH – Tanjung Malim berpotensi sebagai lokasi untuk membangunkan projek kereta nasional ketiga yang dicadangkan perdana menteri.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, kemudahan yang ada di Proton City, Tanjung Malim memberikan kelebihan untuk projek itu walaupun terdapat cadangan untuk dibangunkan di Alor Gajah, Melaka.

Menurutnya, kerajaan bagaimanapun menerima semua cadangan untuk dipertimbangkan melalui Dasar Automotif Negara.

“Kita ambil segala pandangan dan cadangan dari sektor swasta termasuklah cadangan membina kilang di Alor Gajah tetapi ia belum diputuskan, jika semuanya baik ia akan diumumkan kerajaan.

“Bagaimanapun kita akan pastikan pembangunan Proton City Tanjung Malim berjaya dengan rakan strategik syarikat Geely sudahpun mengemukakan inisiatif program pembangunan vendor di kawasan Tanjung Malim yang memberikan kelebihan untuk projek ini dilaksanakan di sana,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Taman Industri Wilayah Utara di WEIL Hotel, lapor Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, Kian Ming menyambut baik inisiatif kerajaan Perak untuk mewujudkan model baharu taman industri.

Beliau berkata, permintaan terhadap taman industri kini terus meningkat dan model lama taman industri memberikan tanah kosong tanpa ada infrastruktur kepada pelabur tidak lagi sesuai.

Katanya, pelabur kini mahukan nilai tambah terhadap taman industri di negara ini seperti kemudahan internet berkelajuan tinggi, gas asli, air, elektrik dan sebagainya.

“Seperti di Johor mereka berhadapan permintaan pelabur yang datang dari Singapura kerana kos operasi perniagaan di negara itu terlalu tinggi. Jadi banyak tempat di negara ini termasuk Perak berpotensi menjadi tumpuan pelabur.

“Kita yakin pelaburan baru akan datang ke Perak dan kita ada hubungan baik dengan Perak. Kerajaan pusat beri jaminan komitmen untuk meneruskan projek gas bagi tempoh dua tahun,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");