Panasnya Hari Ini

Wanita UMNO Kekal Pendirian Terus Sokong Zahid

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO tegas dengan pendirian menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus menjalankan tugas sebagai Presiden parti.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata bekas Timbalan Perdana Menteri tidak perlu berehat sementara susulan berdepan pendakwaan 45 tuduhan pecah amanah dan rasuah.

“Wanita UMNO akan terus menyokong kepemimpinan dan mengekalkan solidariti kepada parti, saat pemimpinnya terus diuji,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, turut menggesa ahli UMNO memberi peluang kepada Presiden menjalankan tugas mengembalikan keyakinan parti selepas pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, ahli UMNO digesa bersikap rasional dan adil melayan Presiden, atas dasar pemimpin itu belum dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Ahli UMNO jangan bertindak mengikut emosi. Biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di mahkamah.

“Kita fokus kepada usaha memulih dan memperkasakan semula UMNO,” katanya.

Ketika ditanya keputusan terbaharu diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhubung status Ahmad Zahid, Noraini berkata, tiada mesyuarat diadakan untuk membincangkan isu berkenaan.

Sebelum ini, Pemuda UMNO menggesa Ahmad Zahid berehat dan bercuti seketika menjalankan tugas Presiden, untuk memberi peluang kepada beliau menumpukan usaha membersihkan nama dan kredibilitinya, di mahkamah.

Bagaimanapun, sayap Wanita dan Puteri, tidak sehaluan dengan Pemuda, sebaliknya mendesak seluruh ahli dan kepemimpinan UMNO menunjukkan solidariti kepada presiden di saat UMNO dan pemimpinnya diuji lapor NSTP.

Keputusan Pemuda UMNO itu menimbulkan rantaian reaksi dalam kalangan pemimpin UMNO terutama dalam kalangan ahli MKT, sehingga Datuk Lokman Noor Adam, bangkit menempelak gesaan itu yang disifatkan menghina Presiden dan parti.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mungkin perlu berehat sementara daripada menjalankan tugas partinya berikutan tuduhan berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) kepemimpinan tertinggi bercuti jika dihadapkan ke mahkamah tidak terpakai dalam kes Ahmad Zahid kerana dibuat ketika UMNO menjadi kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");