Jenayah

Dakwaan Cuba Disogok RM5 Juta, Polis Rekod Keterangan Farid Kamil

PETALING JAYA : Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, memberi keterangan di bilik saksi di Kompleks Mahkamah di sini hari ini, berhubung laporan polis mengaitkannya dengan dakwaan cubaan dirasuah RM5 juta oleh kerajaan terdahulu.

Selepas tamat prosiding mahkamah, Farid, 37, terus dibawa masuk ke dalam bilik saksi itu sebelum keterangannya direkodkan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Menurut Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid, anak guamnya memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan selama 30 minit sebelum dilepaskan oleh pegawai berkenaan.

“Beliau dijangka akan menyambung memberikan keterangan di IPD Petaling Jaya esok selepas sebutan semula kes bagi lima pertuduhan jenayah dihadapinya esok di mahkamah ini selesai,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Terdahulu, Majistret Salamiah Salleh, menetapkan 19, 20, 25 dan 26 Februari 2019 untuk perbicaraan kes Farid yang didakwa membuat laporan polis palsu berhubung dianiaya tiga rakan artis yang memasukkan dadah dalam minumannya.

Perbicaraan Farid yang berlangsung hari ini ditangguhkan ke Februari 2019 selepas pihak pembelaan memohon penangguhan disebabkan pertuduhan pindaan yang baharu saja ditawarkan pendakwaan dalam prosiding sama.

Media sebelum ini melaporkan polis akan memanggil Farid dalam masa terdekat selepas menerima satu laporan di Balai Polis Kota Damansara pada 8 November lalu daripada seorang lelaki berusia 43 tahun yang menjadi wakil kepada Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata laporan itu mengatakan bahawa Farid sengaja mereka cerita untuk menjatuhkan imej Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Najib Razak).

“Malah, pengadu juga mengatakan jika dakwaan Farid itu benar, mengapa tidak dilaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya

Fadzil berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan tohmahan atau fitnah.

Dalam sebuah video yang dimuat naik di Youtube MyFokus Online ketika program TV Al Hijrah jam 10 malam 7 November lalu, Farid mendakwa dirinya cuba dirasuah sebanyak RM5 juta oleh kerajaan terdahulu.

Susulan itu, Lokman dipetik berkata, ia perlu disiasat segera oleh polis kerana membuat dakwaan palsu selain mahu menghina Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");