Perak Hari Ini

Dewan Belia Perak Bakal Bersidang 8, 9 September

IPOH: Persidangan Dewan Belia Perak bagi mesyuarat kedua, penggal pertama bakal berlangsung pada 8 dan 9 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, walaupun terdapat beberapa perubahan dan penambahbaikan ke arah usaha mereformasi Dewan Belia Perak namun, kesemua 60 keanggotaan ahli dewan akan dikekalkan.

Katanya, antara penambahbaikan tersebut ialah akan memastikan bahawa Dewan Belia disertai oleh golongan belia sepenuhnya termasuk Speaker, Timbalan Setiausaha Speaker, dan Setiausaha Dewan.

Dalam pada itu, Howard turut mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Teoh Yee Chern, 28, sebagai Speaker Dewan Belia yang baharu.

Selain itu, tiga bekas ahli Dewan Belia Perak turut dilantik sebagai Timbalan Speaker I, yang akan disandang Nabilatul Husna Shamsul Munir, 22 manakala, Kamal Azureen Adika Kamal Ariffin, 29, sebagai Timbalan Speaker II serta P. Jivithra, 24 sebagai Setiausaha.

“Kerajaan negeri berharap Dewan Belia Perak ini akan menjadi satu cerminan kepada lanskap politik negeri dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Usaha-usaha penambahbaikan ini kita tidak mahu mereka hidup dalam kerangka kehidupan mereka sendiri sahaja,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Yee Chern berkata, antara pembaharuan dewan yang akan dilaksanakan ialah, kesemua ahli dewan tidak lagi dibahagikan kepada tujuh jawatankuasa seperti amalan sebelum ini.

Tambahnya lagi, usul yang bakal dibawa dan dibahaskan dalam persidangan nanti akan lebih terbuka, selagi ia tidak bertentangan dengan perlembagaan negara dan sensitiviti masyarakat.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 20 usul yang akan dibahaskan.

Beliau turut mengumumkan bahawa semua ahli dewan juga bakal diberi ruang untuk berbahas lebih daripada sekali, dalam jangka masa 15 minit.

“Sebelum ini, selepas bahas di Dewan Belia Perak, kebanyakan usul tidak ada tindakan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) mahupun kerajaan negeri.

“Namun kini, kita akan memberi peluang kepada pembentang yang usulnya diluluskan untuk dibentangkan semula di hadapan MMK ataupun menerusi tulisan kepada MMK, dan kemudian kita akan mempertimbangkan.

“Kita akan memastikan kesemua usul yang dibawa ke dewan itu akan memberi manfaat kepada belia-belia di Perak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");