Jenayah

Dua Kru Syarikat Penerbitan Drama, Filem Didakwa Edar Dadah

JITRA: Dua kru sebuah syarikat penerbitan drama dan filem tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mengedar dadah jenis syabu dan heroin di Bandar Darulaman di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Farhan Hashim, 26, dan rakannya, Noor Hafizah Mohamad Sukri, 25, yang kedua-duanya berasal dari Alor Setar, hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun.

Memetik laporan BH Online, berdasarkan kertas pertuduhan, bagi pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 255.97 gram di Taman Suasana Permai, Bandar Darulaman pada jam 4 petang, 30 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 101.27 gram pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama seperti pertuduhan pertama.

Oleh itu, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta tidak lebih 15 kali sebatan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Inspektor Mohd Azim Said, manakala tertuduh diwakili peguam, G Shanmugam.

Mohd Hadi kemudian menetapkan 27 Januari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menantikan keputusan laporan kimia.

Terdahulu, Muhammad Farhan yang berbaju T berwarna hitam dan Noor Hafizah yang berbaju biru tua tiba perkarangan mahkamah seawal jam 9 pagi sambil diiringi anggota polis bertugas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");