Sukan Hari Ini

FAM Lancar Projek ACE

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melancarkan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) selaras dengan Pelan Hala Tuju FAM 2019-2030 atau F:30.

Projek ACE itu bertujuan memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal serta pembangunan pertandingan kepada ahli gabungannya.

Memetik laporan BH Online, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan projek ACE terbahagi kepada tiga teras – pengurusan dan pentadbiran, pembangunan bola sepak dan pembangunan pertandingan.

Beliau berkata, ahli gabungan FAM boleh membuat permohonan untuk menerima geran dan bantuan kepakaran urus tadbir serta teknikal daripada badan induk berkenaan bermula 2019.

“Tiga teras ini menjadi fokus kepada FAM kerana jika ahli gabungan kukuh, maka utuhlah FAM,” kata Hamidin pada sidang media selepas mesyuarat bersama ahli gabungan, di sini hari ini.

“Jika ahli gabungan dapat diperkasa, maka FAM juga akan diperkasakan. Sokongan teknikal bertujuan melahirkan jurulatih dan pemain berwibawa dan hanya menerusi pertandingan, peluang untuk pemain dan jurulatih mengasah kepakaran terbuka luas.

“Projek ini ditawarkan kepada semua ahli gabungan FAM yang dikehendaki memenuhi beberapa syarat, termasuk penyediaan pelan strategik, bajet dan kertas kerja mengikut projek.”

FAM melancarkan F:30 hujung bulan lalu dengan menetapkan beberapa perancangan jangka panjang termasuk meletakkan sasaran Harimau Malaya muncul antara lima negara terbaik Asia menjelang 2030.

Selaku pencetus kepada perlaksaan ACE, Hamidin turut berkata projek berkenaan mencerminkan kesungguhan FAM mencontohi amalan urus tadbir terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Turut terangkum dalam projek ACE adalah beberapa pembaharuan jangka masa panjang, termasuk membangunkan modul pendidikan sendiri menerusi kursus persijilan dalam bola sepak di bawah teras urus tadbir,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");