Membawang Hari Ini

Rindu Untuk Berlakon Tetap Ada – Zaibo

BATU PAHAT: “Saya tidak berkeberatan untuk berlakon semula tetapi tidaklah serancak dahulu disebabkan keadaan saya. Saya tidak nafikan yang saya tidak boleh cuci tangan 100 peratus (dalam industri seni),” kata pelakon dan pelawak, Zaibo.

Memetik laporan BH Online, Zaibo atau nama sebenarnya, Zainal Ariffin Abdul Hamid, 62, yang kini sedang bertarung dengan kanser esofagus sejak September lalu berkata, perasaan rindu tetap ada pada industri hiburan dan rakan artis yang lain.

“Saya ingin baik (pulih). Puan Sri Tiara Jacquelina ada menelefon saya dan pihak penerbitan rancangan Melayu Astro pun sama kerana kami semua rakan lama. Mereka beritahu ingin menerbitkan semula (sitcom) Spanar Jaya versi baharu tetapi saya tak tahu dengan keadaan kesihatan saya macam ini. Saya tidak keberatan untuk berlakon semula tetapi tidaklah serancak dahulu sebab keadaan saya.

“Saya tidak nafikan tidak boleh cuci tangan 100 peratus dan rasa rindu tetap ada dengan industri dan kawan-kawan yang lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Sekolah Menengah Permata Jaya, Rengit di sini, hari ini.

Terdahulu, Zaibo menerima kunjungan daripada Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suaminya, Dennis Muhammad Abdullah.

Ditanya mengenai keadaan kesihatannya, Zaibo berkata, beliau bersyukur kerana tahap kesihatannya juga semakin baik berbanding sebelum ini.

“Minggu lalu, gambar saya dalam keadaan terlantar menjadi viral. Pada mulanya, saya bercadang sembunyikan kepada masyarakat mengenai keadaan kesihatan tetapi ada pihak yang menjadikannya viral tetapi saya tak salahkan dia. Saya beritahu dia, seminggu ke, sebulan ke selepas itu baharu disiarkan iaitu ketika saya bertambah baik.

“Pada masa itu keadaan saya masih teruk dan rasa tak selesa kerana menerima panggilan bertalu-talu dan ini amat mengganggu kesihatan.

“Pada masa sama, saya berterima kasih kepada orang yang menyiarkan kisah ini kerana saya menerima kunjungan daripada banyak pihak, dari ahli politik, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain dari seluruh Johor,” katanya.

Zaibo berkata, kemuncak kepada semua ini, beliau kemudian menerima kunjungan daripada Tunku Tun Aminah.

“Saya sangat berterima kasih dan menjunjung kasih atas keprihatinan Tunku Tun Aminah, suami dan seluruh keluarga Sultan Ibrahim. Berkat kunjungan baginda, saya mendapat perhatian daripada banyak pihak dari seluruh Johor. Sokongan moral ini amat bermakna kepada saya seisi keluarga,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");