Perak Hari Ini

Ipoh Bakal Ada Bas ‘Hop-On Hop-Off’

IPOH: Perak bakal menjadi negeri kedua selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang mempunyai perkhidmatan bas persiaran dua tingkat, Bas Hop-On Hop-Off (HOHO), menjelang Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, bas tersebut akan ditempatkan di Bandaraya Ipoh dan bakal melibatkan sekurang-kurangnya lapan perhentian.

Antara lokasi tersebut ialah Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh, Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael Ipoh, bangunan Octagon, Pasaraya Ipoh Parade, kawasan Little India dan Masjid Panglima Kinta.

Jelasnya lagi, jumlah lokasi perhentian Bas HOHO itu bakal bertambah dari semasa ke semasa.

“Secara dasarnya, kerajaan negeri telah meluluskan cadangan tersebut dan kita sedang berada di peringkat untuk memperincikan cadangan tersebut yang mana ia melibatkan penentuan kadar harga, perjalanan, dan persediaan infrastruktur.

“Untuk peringkat pertama, kita akan tempatkan ia di Ipoh dahulu. Bas HOHO ini bukan produk stand-alone atau berdiri sendiri. Kita bakal menempatkan juga penunjuk arah, pemandu pelancong, kemudahan basikal di setiap kawasan perhentian,” katanya.

Tambahnya lagi, cadangan mewujudkan kemudahan Bas HOHO merupakan salah satu inisiatif untuk mengurangkan jumlah kenderaan masuk ke Ipoh yang menyebabkan kesesakan jalan raya.

Selain itu, ujar Kar Hing, projek perintis ataupun pilot project bas tersebut berkemungkinan akan diadakan pada hujung minggu selepas ia dilancarkan, bermula pada jam 8 pagi sehingga 5 petang.

“Saya masih lagi berbincang tentang perkara ini. Harap pada minggu hadapan kita akan umumkan lebih lanjut tentang Bas HOHO ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bengkel Pelancongan di GIT Academy, di sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");