Berita Hari Ini

Maszlee Serah Isu Bantuan Susu Kepada SPRM

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mempertahankan pendedahan sebelum ini mengenai misteri ‘kehilangan’ susu daripada program bantuan susu kerajaan bernilai jutaan ringgit, selepas tidak dihantar ke sekolah sejak tahun lalu.

Ia susulan laporan sebuah akhbar yang menyangkal dakwaan Maszlee apabila lima syarikat pembekal susu dilantik kerajaan lalu mendakwa telah menghantar bekalan kepada lebih 7,000 sekolah terbabit dalam Program Susu 1Malaysia (PS1M) bermula Ogos hingga Oktober tahun lalu.

Maszlee berkata, isu itu sudah pun dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya akan menunggu hasil siasatan sebelum memutuskan tindakan lanjut.

“Isu ini sudah dibawa kepada SPRM dan kita biarkan SPRM menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee memberi jaminan semua pelaksanaan program susu itu akan dilaksanakan secara tender terbuka selepas ini dan tidak akan memberikannya kepada syarikat yang tidak berkaitan dengan pembekalan susu.

“Pada masa depan, segala proses akan berlaku secara tender terbuka dan tidak ada lagi rundingan terus seperti sebelum ini.

“Kita juga akan pastikan tidak ada kilang santan yang akan diberikan kontrak untuk membekalkan susu kepada pelajar sekolah,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Minggu lalu, Maszlee dilaporkan mendakwa PS1M di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal dan dipenuhi skandal, apabila ia didapati hilang dan tidak dihantar ke sekolah sejak tahun lalu, walaupun diperuntukkan dalam Bajet 2018.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan memberi jaminan akan meneruskan pelaksanaan program pembekalan susu untuk murid sekolah rendah di seluruh negara, dengan peruntukan untuk meneruskan program terbabit sudah disediakan menerusi Belanjawan 2019.-Bh

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");