Perak Hari Ini

MB Perak Harap Pentadbiran Kerajaan Dapat Aplikasikan Al-Quran

IPOH: Usaha Kerajaan Perak dalam mencorak pentadbiran negeri semenjak daripada awal adalah selari dengan apa yang dinyatakan dalam Al-Quran, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menjadikan surah Al-Balad sebagai rujukan, beliau berkata segala intipati dan seruan Allah dalam surah berkenaan merupakan prinsip yang dipegang beliau semenjak daripada mula beliau memegang tampuk pemerintahan negeri ini.

“Allah memperingatkan bahawa untuk kita menjadikan sesebuah negeri baik, haruslah membebaskan perhambaan hutang sesama manusia, memberi makan dengan pengurusan ekonomi yang baik, melindungi anak-anak yatim dan membantu masyarakat, fakir dan miskin serta membuat nasihat dengan penuh kasih sayang.

“Ini antara perkara yang daripada awal telah kita cuba bawa apabila saya mula memegang pentadbiran. Namun saya kagum kerana rupanya ia selari dengan apa yang di ajar dalam Al-Quran,” katanya.

Selain daripada itu, beliau turut berharap agar pentadbiran kerajaan negeri secara keseluruhannya, mampu mengaplikasikan Al-Quran dalam sistem pentadbiran dan pengurusannya.

Beliau turut menyeru agar semua ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri turut dapat mengajak kakitangan mereka agar dapat mengaplikasikan Al-Quran dalam semua urusan kerja.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Bicara Legasi: Saving Legacy Perak di Kediaman Lama Menteri Besar, di sini hari ini.

Program anjuran Kumpulan Media Karangkraf itu merupakan seumpanya yang dianjurkan di Malaysia dan Perak merupakan negeri pertama yang menjadi tuan rumah program berkenaan.

Ketika ditanya pemberita sama ada kerajaan negeri akan turut mengadakan program tersebut pada masa hadapan dalam skala yang lebih besar, Ahamd Faizal berkata, ia akan dilakukan bersandarkan kepada kemampuan kerajaan negeri.

“Dalam program tadi ada disebut bahawa, jika kita mahu lakukan satu perubahan, jika kita dapat dalam tujuh peratus daripada semua orang yang menyertai ia sudah pun mencukupi.

“Apabila kita berjaya melakukan perubahan, majoriti besar akan ikut sama. Saya sentiasa yakin dengan perkara itu.

“Seperti dalam politik, itu kaedah yang saya buat. Jika kita mampu lakukan dengan ikhlas, tidak kisah bagaimana ia dilakukan, saya percaya Allah akan memudahkan untuk orang ramai menerima dengan apa yang kita bawa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, pihaknya yakin bahawa program yang dianjukan itu mampu memberi impak positif kepada pentadbiran dan pengurusan jabatan-jabatan kerajaan di negeri ini.

Ujarnya, ia dilihat berdasarkan pada sokongan Menteri Besar sendiri terhadap program tersebut yang mana beliau yakin ia secara tidak langsung, akan turut mendapat sokongan daripada semua ketua jabatan agensi kerajaan negeri.

“Di syarikat-syarikat swasta dan universiti-universiti kita telah laksanakan program ini. Di peringkat negeri, Perak yang pertama.

“Jika kita mampu capai misi program dalam tempoh 4 tahun, tidak mustahil Perak akan jadi negeri contoh terhadap usaha ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");