Berita Hari Ini

Pelaku Dera Bayi 9 Bulan Perlu Dikenakan Hukuman Berat -TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu hukuman berat dikenakan terhadap pelaku yang menyebabkan kematian seorang bayi berusia sembilan bulan dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh di Kajang, Jumaat lalu.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kejadian menyayat hati itu sukar diterima oleh masyarakat

“Saya tidak boleh menerima mengapa ada yang sanggup melakukan perkara sekejam itu kepada seorang bayi? … ia ada satu jenayah yang kejam.

“Justeru, keadilan harus diambil dan pengajaran melalui hukuman berat perlu dikenakan ke atasnya (pelaku),” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Puteri Peringkat Kebangsaan, Pergerakan Puteri Islam Malaysia 2018 di Kompleks Darul Puteri, Cheras, hari ini.

Bayi perempuan itu meninggal dunia di Hospital Serdang jam 10.30 pagi selepas dua hari dilaporkan tenat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff dilaporkan berkata pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan baru pada kemaluan mangsa.

“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kesan objek tumpul di kepala dengan tempurung kepala pecah, selain kesan lebam pada bahagian atas kepala mangsa.

“Selain itu, terdapat juga kesan penderaan seksual terhadap bayi berkenaan,” katanya dalam semalam.

Polis menahan pengasuh dan suaminya masing-masing berusia 28 dan 36 tahun, kelmarin, untuk siasatan lanjut dan kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, mengulas mengenai kes penghuni sebuah rumah kebajikan dan anak yatim milik persendirian di Temerloh, Pahang yang dipercayai didera serta dicabul, Dr Wan Azizah berkata, 29 kanak-kanak terbabit sudah diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata semua kanak-kanak sudah dibawa menjalani pemeriksaan lanjut di hospital.

“27 daripada mereka juga sudah kembali kepada keluarga masing-masing dan hanya dua yang masih dalam jagaan JKM kerana tiada waris terdekat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");