Perak Hari Ini

Perlu Bersatu Hati Pertahankan Perpaduan- MB Perak

IPOH:Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Buntong di sini hari ini.

Turut berangkat Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah,Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim, Ahli Jemaah Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Haji Zainuddin, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Datin Seri Nomee Ashikin serta Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Seramai lebih 3,000 tetamu yang terdiri dari pelbagai kaum hadir bagi memeriahkan Sambutan Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Perak, hari ini.

Ahmad Faizal semasa menyampaikan ucapan berkata kehadiran masyarakat berbilang kaum ini adalah manifestasi kepada keunikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya menyatukan rakyat di bawah naungan sistem raja berpelembagaan.

“Deepavali diraikan sebagai tanda kemenangan rakyat menentang kezaliman untuk menegakkan keadilan malah cahaya atau pelita yang sinonim dengan perayaan Deepavali adalah simbolik kepada kemenangan kebenaran ke atas kejahilan dan kemurnian serta kemakmuran.

“Prinsip keadilan, kemurnian dan kemakmuran ini sebenarnya adalah elemen universal yang turut ditekankan oleh mana-mana agama dan kepercayaan di seluruh dunia.

“Hanya dengan elemen-elemen ini kita mampu mewujudkan implikasi positif dalam pelbagai aspek kehdupan masyarakat, baik dalam sosial, ekonomi mahupun politik,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua lapisan masyarakat di Negeri ini untuk bersatu hati untuk terus mempertahankan perpaduan bagi memastikan nikmat kemakmuran ini dapat dikekalkan.

“Harapan saya, agar masyarakat sentiasa menghargai semangat perpaduan dan keharmonian yang telah diturunkan dari generasi yang lalu.

 

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong majlis seperti ini yang bermatlamat memberi peluang kepada rakyat untuk lebih mengenali budaya dan adat resam masyarakat berbilang kaum, seterusnya menyuburkan semangat saling hormat-menghormati di antara kita.

“Buktikanlah kecintaan kita kepada negara ini dengan menghindari perkara-perkara yang boleh menjejaskan kestabilan sosial di Malaysia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");