Perak Hari Ini

Perkenal Kad Makanan Dan Kad Kesihatan

IPOH – Kerajaan negeri bakal memperkenalkan Kad Makanan dan Kad Kasihatan kepada golongan B40, miskin dan miskin tegar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kemudahan itu diselaraskan di bawah Yayasan Perak dengan penyediaan kad makanan bernilai RM80.00 sebulan dan kad kesihatan berjumlah RM300.00 setahun kepada setiap penerima.

“Bantuan pertama kali ini diperkenalkan di negeri ini adalah sebagai tambahan kepada bantuan pemberian Kotak Harapan berkonsepkan bantuan bersasar berbanding pemberian wang tunai.

“Kerajaan negeri begitu komited melaksanakan program bagi membela nasib golongan yang memerlukan selaras dengan manifesto Pakatan Harapan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Jelas Ahmad Faizal, bantuan berkenaan merupakan usaha untuk mengelakkan penyalahgunaan bantuan oleh sesetengah penerima sehingga akhirnya membuatkan bantuan yang diberikan itu tidak mencapai matlamat.

“Bantuan pusat jagaan warga tua dan peruntukan bantuan am jabatan kebajikan masyarakat ditingkatkan.

“Walaupun keupayaan kewangan kerajaan negeri kian terhad, namun tidak menghalang kerajaan negeri daripada terus menyediakan bantuan yang diperlukan oleh rakyat,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan peruntukan bagi program-program kesedaran kesihatan seperti Kesedaran Menderma Darah dan Gaya Hidup Sihat.

Selain itu kata Ahmad Faizal, Program Takaful Tabarruk akan diteruskan dengan mensasarkan golongan OKU, ketua isi rumah orang asli, penerima bantuan bulanan Baitulmal, imam, paderi, sami serta warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");