Perak Hari Ini

RM10,000, Satu Lot Tanah: Insentif Kerajaan Negeri Buat TBG

KUALA KANGSAR: Kerajaan Perak hari ini mengumumkan insentif RM10,000 kepada setiap pegawai dan pemain dalam pasukan bola sepak negeri yang telah berjaya menjulang trofi Piala Malaysia 2018.

Selain daripada itu, kerajaan negeri juga turut mengumumkan isentif kepada mereka berupa satu lot tanah yang difahamkan ia mampu untuk didirkan satu unit rumah.

Pengumuman dibuat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ketika ditemui pemberita pada Acara Larian Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dataran Pavillion di sini, pagi tadi.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara terperinci lokasi tanah-tanah berkenaan.

Selain itu ujarnya, insentif tersebut merupakan insentif yang berasingan daripada insentif yang bakal diberikan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

“Saya tidak dapat pastikan insentif daripada PAFA. Saya belum berhubung dengan mereka lagi. Tetapi, saya percaya, seperti yang dijangkakan, wang yang telah dimenangi mereka akan diberikan kepada pemain.

“Sama ada insentif daripada PAFA sudah diterima atau tidak kepada para pemain dan pegawai, itu saya tidak pasti.

“Namun, daripada kerajaan negeri, kita akan serahkan secepat mungkin dan ia berkemungkinan kita akan adakan dalam satu majlis,” katanya.

Selain daripada dua insentif berkenaan, 29 pemain dan pegawai skuad The Bos Gaurus (TBG) diperkenankan Sultan Perak bagi menerima pingat, bersempena dengan Hari Keputeraan Baginda di Istana Iskandariah, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar turut bakal mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya insentif turut diberikan kepada skuad hoki Perak yang telah berjaya mempertahankan gelaran juara kali kelima, Kejohanan Piala Tun Razak baru-baru ini.

“Kita tidak dapat buat pengumuman hari ini kerana ianya masih belum dibincangkan.

“Tentu kita perlu berbangga dengan kejayaan yang telah dipamerkan oleh pasukan hoki kita,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");