Berita Hari Ini

Rumah Musnah Dihempap Pokok Pulai

JERANTUT – Sebuah rumah musnah dihempap pokok pulai berusia lebih 60 tahun di Kampung Perian, di sini lewat petang semalam.

Kejadian ketika cuaca cerah pada pukul 4.30 petang itu menyebabkan pasangan Hashim Shaari dan Normala Kaml kini kehilangan tempat berteduh.

Normala berkata, dia dan ahli keluarganya berada di luar kawasan ketika kejadian tersebut berlaku.

“Saya dan suami menetap di rumah ini bersama tiga orang anak, Mira Hanisa, Mohd Shahril, dan Mohd. Shahrul ketika kejadian tersebut.

“Ketika itu saya dan Mira berada di Batu Caves, Selangor manakala suami pula bersama Mohd. Shahril dan Mohd. Shahrul di Bera,” katanya kepada Kosmo! Online di sini.

Suri rumah itu memberitahu, dia bergegas pulang ke rumah setelah dimaklumkan jirannya, Rizalman Mat Sani, 41.

“Ketika tiba di rumah sekitar pukul 7 petang, saya terkejut apabila melihat kediaman yang dibina empat tahun lalu itu musnah sekelip mata,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia bagaimanapun bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat kerana tidak berada di situ ketika kejadian berlaku.

“Saya tidak tahu apa akan berlaku kepada kami kalau berada di rumah pada waktu itu,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah turut hadir bersama-sama bergotong-royong di rumah mangsa.

“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga mangsa dan kerajaan negeri bersetuju memberi sumbangan RM11,000 kepada mereka,” kata beliau. – K! ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");