Jenayah

Suami Pengasuh Zara Dipenjara 20 Tahun, 12 Sebatan

KAJANG: Suami pengasuh bayi berusia 11 bulan, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal yang mati akibat didera, dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, ini atas dua tuduhan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap Hazmi Majid, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 13 November lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu didakwa memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi perempuan itu di sebuah rumah di Apartmen Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, di sini, antara jam 10.30 pagi dan 1.30 petang, pada 7 November lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Hazmi yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara isteri dan tiga anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria, membantah rayuan itu dan memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan membabitkan mangsa berumur 11 bulan yang tidak berdaya untuk mempertahankan diri sendiri.

“Tertuduh adalah suami kepada pengasuh mangsa yang sepatutnya turut menjaga dan bukannya mengambil kesempatan ke kanak-kanak itu.

“Kesalahan terhadap bayi dan kanak-kanak juga semakin menular dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya lapor Berita harian.

Pada 23 November lalu, Hazmi didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh bayi berkenaan di sebuah rumah di alamat sama.

Terdahulu dilaporkan, bayi berkenaan meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor pada 9 November lalu selepas dua hari dalam keadaan kritikal.

Mangsa yang dilahirkan pada 10 Disember 2017 itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya selepas pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan serta dubur mangsa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");