Perak Hari Ini

Zoo Taiping & Night Safari Berjaya Biak Haiwan Diacam Kepupusan

IPOH:Zoo Taiping & Night Safari berjaya menjalankan proses pembiakan terhadap beberapa haiwan yang diancam kepupusan.

Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Taiping Datuk Abd. Rahim Md Ariff berkata pada tahun ini Zoo Taiping berjaya dalam program pembiakan binatang seperti Ungka Tangan Putih, Kuda Belang, Seladang, Burung Keria Mahkota, Burung Botak Upeh dan lain-lain.

“Pada tahun ini sahaja, Zoo Taiping & Night Safari telah berjaya di melakukan proses pembiakan dan kesemua kelahiran ahli keluarga baharu ini merupakan salah satu pencapaian yang amat berharga dalam memastikan program pembiakan dan konservasi dapat diteruskan bagi mengelak kepupusan berlaku,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya Zoo Taiping & Night Safari sentiasa berusaha untuk mengekalkan kelestarian dan khazanah alam melalui program pembiakan terutama spesis terancam.

“Kemampuan Zoo Taiping untuk membiak haiwan di dalam kurungan yang hampir pupus merupakan sesuatu yang amat berharga dan sebagai sebuah zoo yang mendokong prinsip zoo bertaraf dunia dan sedang berusaha ke arah mencapai tahap zoo bertaraf dunia, Zoo Taiping & Night Safari sentiasa mengamalkan aktiviti yang mementingkan penjagaan dan kebajikan haiwan.

“Zoo Taiping & Night Safari bukan sahaja memastikan penjagaan haiwan yang berterusan, persekitaran yang menyamai habitat asalnya malahan memastikan perkembangan fizikal dan mental haiwan dirangsang dengan baik,” katanya.

Terdahulu,kejayaan kelahiran anak Kuda Belang atau nama saintifiknya adalah ‘ Equus quagga burchelli’ merupakan kelahiran kali pertama di Zoo Taiping & Night Safari. Anak kuda Belang ini dilahirkan pada 11 November 2018 dengan berat sekitar 30 kg.

“Kuda ini dilahirkan oleh ibunya berusia 18 tahun dan bapanya yang berusia 10 tahun yang telah diperolehi dari Zoo Negara melalui Program Pertukaran Haiwan dan kini Zoo Taiping memiliki 3 ekor Kuda Belang termasuk anak yang baru dilahirkan,” katanya.

Seterusnya adalah kelahiran anak Ungka Tangan Putih atau nama saintifiknya ‘Hylobates lar’ pada 22 April 2018 dengan berat antara 0.4kg hingga 0.5kg ini adalah salah satu kejayaan penting di dalam pembiakan Ungka Tangan Putih di Zoo Taiping & Night Safari.

Setakat ini Zoo Taiping memiliki 13 ekor iaitu 5 jantan, 6 betina dan 2 ekor anak (jantina masih belum dikenalpasti).

 

Zoo Taiping & Night Safari juga katanya mempunyai dua spesis burung jenjang atau keria iaitu Burung Keria Mahkota dan Keria Demoisell dan pembiakan Burung Keria Mahkota di Zoo Taiping dianggap berjaya kerana ini merupakan pembiakan kali ke 4.

“Pada 13 Julai 2018, Zoo Taiping & Night Safari telah menerima seekor anak burung Keria Mahkota yang telah menetas dengan anggaran berat 180 gram hingga 200 gram. Buat masa ini Zoo Taiping memiliki lapan ekor Burung Keria Mahkota. Burung Keria Mahkota adalah spesis yang banyak ditemui dari Timur dan Selatan Afrika dan ianya adalah burung kebangsaan negara Uganda.

“Anak Seladang atau nama saintifiknya ‘Bos gaurus hubbacki’ dilahirkan pada 19 Oktober 2018. Kelahiran ini merupakan kejayaan kali ke 6 sejak tahun 2000 .Kali terakhir dilahirkan di Zoo Taiping & Night Safari adalah pada tahun 2012 malah Seladang adalah salah satu haiwan yang terancam dan dikhuatiri akan pupus disebabkan oleh kehilangan habitat dan pemburuan haram.

“Pada tahun 2018, Zoo Taiping & Night Safari telah berjaya membiak di dalam Pameran Hutan Tebing Sungai iaitu sebanyak 8 ekor anak burung Botak Upeh. Menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 40 ekor (dalam kurungan),” katanya.

Katanya kini orang ramai dapat melihat kumpulan pertama yang dilepaskan ini telah menetas iaitu sebanyak 6 ekor anak Burung Botak Upeh. Kumpulan ini dapat dilihat bertebangan untuk mencari makanan di kawasan Taman Tasik Taiping dan pulang ke Zoo Taiping.

“Program konservasi ini telah menunjukkan satu kejayaan dan jumlah burung yang hidup di luar pameran akan bertambah dan berharap mereka akan beransur-ansur kembali ke habitat asal mereka iaitu di Kuala Gula.

“Kesemua kelahiran ahli keluarga baharu Zoo Taiping & Night Safari ini dapat menambahkan lagi bilangan koleksi yang sedia ada di Zoo Taiping & Night Safari terdiri daripada 120 spesis termasuk mamalia, reptilia, ikan dan burung.

“Bersempena cuti sekolah yang akan tiba, orang ramai boleh berkunjung dan melihat haiwan baharu ini dengan lebih dekat dan merasai keindahan flora dan fauna yang terdapat di Zoo Taiping & Night Safari,” katanya.

Yang Dipertua
Majlis Perbandaran Taiping

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");