Jenayah

Kejadian Pukul Zulfarhan Umpama Perlawanan Tinju – Saksi

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyifatkan kejadian pukul Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain, pada 21 Mei 2017, umpama menyaksikan perlawanan tinju.

Mohd Syafiq Abdullah, 22, berkata, ketika kejadian di bilik asrama 3-5 itu, dia melihat Zulfarhan Osman menahan sakit dan berpeluh-peluh.

Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata, seorang penuntut kemudian dilihat mengelap peluh mangsa.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada sesi pemeriksaan semula, adakah perbuatan mengelap peluh dan sambung memukul ibarat perlawanan ‘boxing’, Mohd Syafiq berkata: ”Ya, lebih kurang macam tu la.”

Mohd Syafiq berkata demikian pada prosiding perbicaraan hari ke-17 kes kematian Zulfarhan Osman di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada awal prosiding, Mohd Syafiq yang kini sedang menjalani latihan ketenteraan di Kedah, memberitahu, ketika kejadian pukul itu, ada beberapa penuntut yang cuba menghalang dengan memarahi individu-individu yang memukul mangsa selain ada yang datang untuk melihat dan tidak berbuat apa-apa.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka, yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama-sama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 23 Januari tahun depan lapor NSTP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");