Ahli Parlimen Batu Kawan itu memuat naik status berbunyi `Maka, adakah kanak-kanak menjadi hiburan?’ dalam status laman sosial Facebooknya dalam merujuk kepada laporan berita tersebut.

Tindakannya itu mengundang kecaman dan kemarahan netizen yang menyifatkan beliau sebagai melampau sekali gus mendesak penjelasan lanjut wakil rakyat berkenaan.

Meskipun status yang dimuat naik kira-kira sejam lalu itu mengundang kemarahan ramai, Kasthuri Patto bagaimanapun mempertahankan kenyataan tersebut dalam status terbaru dan menegaskan tidak kesal dengan kenyataan berkenaan.

“Saya tidak bercakap atau menyentuh mengenai Islam yang mana saya sangat menghormatinya.

“Adakah saya menyesal dengan pertanyaan itu (status sebelumnya), tidak,” demikian tulisnya dalam status terbaharu itu.

Bagaimanapun, status terbaharu itu sekali lagi mengundang kemarahan netizen dengan ada yang mempersoalkan kelayakan beliau selaku wakil rakyat kepada semua kaum.

Awal hari ini, laporan berita menyebut Kerajaan Pas Kelantan tidak mengeluarkan sebarang lesen hiburan kepada mana-mana premis perniagaan di negeri tersebut. – UTUSAN ONLINE