Jenayah

“Jangan Kaitkan Kematian Muhammad Adib Dengan Isu Perkauman”

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi peringatan tegas supaya tidak sesekali mengaitkan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, dengan isu perkauman.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata sebaliknya, kematian Allahyarham dikategorikan sebagai kes jenayah dan pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya beri ingatan jangan ambil kesempatan atas isu ini untuk membangkitkan isu-isu rasis atau perkauman.

“ini hanya satu kes jenayah yang dalam tindakan pihak polis,” katanya seperti mana dipetik dalam portal Astro Awani, lapor BH Online, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata pihaknya masih dalam proses melengkapkan siasatan kes kematian anggota bomba itu.

“Kita sudah klasifikasi kes ini semula di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan ia masih lagi dalam proses siasatan.

“Kita akan ambil tindakan mengikut keperluan untuk melengkapkan siasatan dan mengenal pasti mereka yang terbabit, mendapatkan butiran dan kita akan ambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Alor Setar, kira-kira jam 1.45 tengah hari tadi.

Pengebumian jenazah turut dihadiri ratusan anggota keluarga, saudara-mara dan penduduk sebagai memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Suasana hiba menyelubungi upacara itu dengan keadaan cuaca yang sedikit mendung memudahkan urusan pengebumian dijalankan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");