Perak Hari Ini

Kedudukan Kewangan MAPS Memberangsangkan, Tak Perlu Suntikan Modal

IPOH: Hasil pelan strategik pihak pengurusan Movie Animation Park Studios (MAPS) yang terletak di Bandar Meru Raya, di sini, kebelakangan ini kedudukan kewangan taman tema tersebut mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kini, MAPS kini telah mampu menanggung perbelanjaan operasinya sendiri, tanpa bergantung kepada sebarang suntikan modal.

Jelasnya, setakat ini, MAPS telah berjaya menjual 67,549 tiket manakala secara purata, taman tema tersebut dijangka menerima 2,000 pengunjung menjelang musim cuti sekolah ini.

“Pengurusan MAPS juga telah menamatkan perjanjian harta intelek bersama dengan pihak Dreamworks dan Universal Studios serta menjalinkan kerjasama dengan entiti-entiti baru.

“Ia merupakan sebahagian daripada penyusunan semula kos operasi dan perbelanjaan modal untuk melengkapkan daya tarikan di taman tema ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Akmal Kamarudin (PAS-Selama) kemudiannya mencelah dan mengutarakan perihal kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming yang mencadangkan agar MAPS dijual.

Ahmad Faizal sekali lagi mengulangi kenyataannya dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH) sentiasa terbuka menerima sebarang pandangan berhubung isu MAPS.

Katanya lagi, kejayaan MAPS dalam menguruskan kewangan secara berdikari dalam tempoh masa terkini, menjadikan ia mengapa dirasakan tidak perlu dijual.

“Kos operasinya kini pula tanpa memerlukan sebarang suntikan modal.

“Namun, dalam masa akan datang, mungkin kita akan menimbang cadangan sekiranya ada pihak swasta yang ingin berikan suntikan modal atau mahu membantu memperbesarkan taman tema itu, mungkin kita akan ambil kira,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");