Perak Hari Ini

MB Perak Sambut Baik Program Desa Harapan

TAPAH: Kerajaan Perak menyambut baik inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang menjadikan Kampung Kinjang, di sini, sebagai projek rintis Desa Harapan yang pertama di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah kementerian yang berjaya menarik penyertaan syarikat-syarikat swasta dalam turut membantu membangunkan kampung tersebut bersama-sama komuniti setempat adalah seiring dengan hasrat kerajaan negeri.

“Penghargaan harus diberi kepada kementerian dan pihak swasta yang terlibat dalam usaha ini.

“Ia kerana saya sejak daripada awal lagi memegang pendirian bahawa jika kita mahu memajukan negara dan negeri, ia bukan sahaja melibatkan usaha daripada pihak kerajaan malah ia harus juga melibatkan pihak swasta yang sama-sama menggembleng usaha ini.

“Kali ini, kita turut sama menggembleng usaha bersama dengan penduduk kampung di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Desa Harapan di SK Sri Kinjang, Kampung Kinjang, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Desa Harapan merupakan program seumpamanya di negara ini yang mana ia melibatkan kerjasama antara pihak kerajaan, swasta dan penduduk setempat dalam meningkatkan pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam membantu menambah baik inisiatif serta menyokong penuh usaha tersebut.

Malah, beliau juga menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk terus menarik minat pihak syarikat swasta dalam menjadikan lebih kurang 212 buah kampung Orang Asli di seluruh daerah sebagai kampung angkat.

Terdahulu, ketika berucap dalam acara perasmian majlis berkenaan, Menteri Besar menzahirkan keyakinan bahawa Kampung Kinjang akan berjaya dalam projek rintis berkenaan.

“Program Desa Harapan ini adalah salah satu inovasi kerajaan pimpinan Pakatan Harapan untuk membawa dimensi baru dalam pembangunan kawasan luar bandar.

“Apa yang pasti, ia bukanlah program perumahan rakyat seperti yang lain, kerana ia adalah tanda aras baru kepada konsep pembangunan kawasan kampung di negara ini,” ujarnya.

Pada masa sama, Rina turut mengumum akan mempertimbangkan permohonan kerajaan Perak dalam membina tangki air dan jalan raya untuk Rancangan Perumahan Tersusun Bukit Bertam di Selama serta projek membina jalan raya dari Batu Kurau ke Kamunting, yang sudah 10 tahun terbengkalai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");