Perak Hari Ini

NGO Desak Kerajaan Lucut Jawatan Waytha Moorthy, Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja

IPOH: Jalinan Bersatu Sahabat (JABAT) Perak mendesak pihak kerajaan agar melucutkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P Waytha Moorthy.

Presidennya, Amiruddin Mohd Daud berkata, tindakan tersebut harus diambil ekoran kegagalan menteri itu dalam meredakan rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, bulan lalu, sehingga mengakibatkan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim terkorban.

Beliau juga mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat Waytha Moorthy serta EXCO Kerajaan Negeri Selangor, V Ganabatirau, di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana didakwa sengaja menimbulkan ketegangan kaum.

“Kita menuntut agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat dan memberi pembelaan kepada Muhammad Adib.

“Seperti insiden menimpa mendiang Teoh Beng Hock dan Kugan Ananthan di mana ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, dalam kes ini kita juga mahu yang sama. Kita tidak mahu ada ‘double standard”,katanya.

Selain itu, beliau juga menggesa agar Peguam Negara, Tommy Thomas menyegerakan pendakwaan ke atas pihak yang terlibat dalam isu ini berikutan ia mengakibatkan ketegangan kaum dikalangan masyarakat.

Tambah Amiruddin, pihak berkuasa tempatan juga harus bertindak tegas terhadap pembinaan rumah-rumah ibadat yang didapati tidak berlesen.

“Kita meminta agar semua pihak memandang perkara ini sebagai isu yang berat dan kita juga menggesa agar kerajaan memberikan pampasan yang sewajarnya kepada ahli keluarga Allahyarham Muhammad Adib,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Keadilan Buat Adib di Restoran D’Polo Cafe, di sini, hari ini.

Ia turut dihadiri 35 wakil-wakil organisasi bukan kerajaan (NGO) yang dinaungi JABAT Perak yang diantaranya ialah wakil NGO Pesilat Perak, yang diketuai Hazli Haidi Abd Halim dan wakil NGO Islam yang diketuai Hafez Sabri.

Dalam sidang media yang sama, Muhammad Iqbal Dinzly Muhamad Saifuddin yang mewakili Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) negeri turut menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan Ketua Armada Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menghantar memorandum kepada Perdana Menteri supaya mempertimbangkan pandangan untuk melucutkan jawatan Waytha Moorthy.

Selain itu, Hazli juga menaruh harapan dan keyakinan yang tinggi kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan berhubung kes ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");