Panasnya Hari Ini

Anwar Tak Bimbang Tidak Dipilih Jadi PM

INDIA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan beliau tidak bimbang jika sekali lagi tidak dipilih untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang seterusnya dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Saya sekarang berusia 71 tahun dan sudah diseksa dan diseksa dan kemudian diseksa lagi hingga saya tidak lagi risau mengenai masa depan.

“Saya tahu orang politik tidak bermaksud mengenainya, tapi saya menyatakan perkara sebenar. Que Sera Sera (apa yang terjadi biarkan terjadi),” katanya ketika ditemubual akhbar India, The Hindu, semalam, lapor BH Online.

Ketika ditanya sama ada Mahathir akan menyerahkan jawatan kepadanya, beliau berkata mereka bersetuju menyatakan tempoh peralihan jawatan itu tidak melebihi dua tahun atau pada Mei 2020.

“Ya, kami berdua bersetuju dan parti juga sama di mana tempohnya tidak lebih dua tahun (Mei 2020), tetapi saya berkata penting untuk kita tidak umumkan tarikhnya.

“Kami mahu Mahathir mentadbir negara secara efektif dengan sokongan penuh selain bersatu menumpukan kepada masalah ekonomi,” katanya.

Anwar berkata keputusannya bekerjasama dengan Perdana menteri adalah satu perkara yang sukar.

“Saya bukan hipokrit dan saya akan kata ia satu keputusan sukar dan menyakitkan kepada isteri saya dan anak-anak yang begitu menderita.

“Saya beritahu mereka agar pandang ke depan demi negara. Azizah komited dan teruskan kempen. Masalah dihadapi negara lebih teruk berbanding masalah saya,” katanya.

Namun, Anwar berkata, beliau tidak menyesal bekerjasama dengan Dr Mahathir dan memuji pemimpin negara itu yang sudah memberi hala tuju yang jelas kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Anwar yang ditanya mengenai penceramah kontroversi Dr Zakir Naik yang sering didakwa merendahkan agama lain, beliau berkata kerajaan Malaysia akan bertindak atas ‘bukti yang tidak dapat ditolak’ terhadap penceramah berasal dari Mumbai, India.

“Kes Zakir Naik tidak dibangkitkan dengan saya secara peribadi. Kami tidak melayan semua tuduhan melainkan mempunyai bukti lengkap mengenainya.

“Malaysia sangat tegas terhadap keganasan dan jika kami diberikan bukti yang tidak dapat ditolak bahawa seseorang terbabit, maka kami tidak sesekali bertolak ansur dengannya,” kata Anwar sambil menambah kerajaan tidak akan bertindak atas permintaan semata-mata.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");