Jenayah

Bunuh Ahli Perniagaan: 4 Lelaki Termasuk Adik Exco Pemuda UMNO Didakwa

KAJANG – Empat lelaki termasuk adik kepada seorang Exco Pemuda UMNO yang terlibat dengan kes seorang ahli perniagaan dilarikan sebelum me­ninggal dunia di pekarangan lobi sebuah hospital swasta di Jalan Ampang 3 Januari lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Memetik laporan Kosmo Online, Mereka ialah Tariq Hussin Akhtar Husin, 37, Masysar Ahmad, Saiful Anuar Shaari, dan Muhammad Syafirul Hazlan Zainal yang ketiga-tiganya berusia 27 tahun.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah kerana kes tersebut adalah di bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan mereka bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat bersama telah melakukan bunuh terhadap Harris Morunting, 42.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Seri Putra, 2/5B Bandar Sri Putra, di sini antara pukul 4.40 petang 2 Januari hingga 11.25 pagi 3 Januari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Siamalah manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan perselisihan faham berkaitan wang kripto Bitcoin dipercayai punca mangsa dilarikan sebelum me­ninggal dunia di pekarangan lobi sebuah hospital swasta di Jalan Ampang di sini pada 3 Januari lalu.

Satu sumber berkata, mangsa berusia 35 tahun dan berasal dari Sabah dilarikan oleh empat lelaki dengan dua buah kenderaan ketika berada di rumahnya di Bandar Sri Putra, Bangi pada pukul 6.20 petang, 2 Januari lalu.

Susulan kejadian itu, isteri mang­sa membuat laporan polis selepas suspek meminta wang tebusan sebanyak RM600,000.

Bagaimanapun pada pada keesokan harinya (3 Januari) pihak polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta yang memaklumkan mayat seorang lelaki dipercayai mangsa ditinggalkan di lobi hospital tersebut.

Bertindak atas maklumat dan risikan, polis telah menahan 10 lelaki berusia lingkungan 30-an dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang bermula 12 hingga 17 Januari lalu.

Jelas sumber itu, perselisihan faham berkaitan matawang digital Bitcoin dipercayai punca mangsa dilarikan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");