Perak Hari Ini

ICU Digesa Segerakan Pendahuluan Peruntukkan Parlimen Yang Terjejas Bencana

BAGAN SERAI – Kerajaan Persekutuan diseru untuk menyegerakan pemberian peruntukan pendahuluan kepada kawasan parlimen yang dilanda bencana, menerusi Jabatan Pembangunan Negeri (ICU).

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, cadangan tersebut adalah penting bagi membolehkan mana-mana Ahli Parlimen yang terlibat dapat membantu rakyat yang terjejas akibat bencana alam.

Beliau merujuk kepada beberapa kawasan di Perak yang dilanda bencana hujan lebat dan ribut semalam termasuk di Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Batu 6, Beriah, di sini.

“Peruntukkan untuk Parlimen Bagan Serai masih belum diterima dan justeru itu saya mencadangkan agar pemberian pendahuluan peruntukkan parlimen perlu disegerakan ICU, kepada mana-mana kawasan parlimen yang dilanda bencana.

“Ini membolehkan Ahli Parlimen kawasan terbabit dapat menjalankan kerja-kerja membaik pulih kediaman yang musnah dalam kadar segera,” katanya ketika mengadakan sesi tinjauan mangsa ribut di PPMS Batu 6, Beriah, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya lagi dalam kejadian ribut yang berlaku sekitar jam 4.30 petang semalam, sebanyak 10 buah rumah telah terjejas di mana empat daripadanya mengalami kerosakan teruk.

Terdahulu, Noor Azmi melalui Sahabat Parlimen telah pun memberi bantuan awal berbentuk makanan kepada mangsa-mangsa ribut yang terlibat, semalam.

“Sesi tinjauan hari ini, saya turun sendiri memberikan sedikit bantuan makanan berserta sedikit wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung kesemua mangsa berkenaan dan berkesempatan meninjau kesemua rumah yang rosak.

“Hasil tinjauan terhadap empat rumah yang mengalami kerosakan teruk, saya menganggarkan jumlah kerugian yang dianggung mereka antara RM 5,000 hingga RM 10,000 sebuah.

“Justeru pihak ICU diharap dapat menyegerakan pendahuluan peruntukkan bagi membolehkan pihak kami membantu mangsa yang terbabit bencana semalam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Azmi turut mencadangkan kesemua kuarters guru yang terbiar usang seperti di Matang Jelutung, Alor Pongsu, dapat dibersihkan dan dinaiktaraf untuk dijadikan sebagai penempatan khas bencana.

Tambahnya lagi Kerajaan Negeri turut digesa mengkaji semula jumlah bantuan Tabung Bencana Daerah kerana katanya, jumlah bantuan sedia ada terlalu kecil selain ia membebankan mangsa bencana.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");