Berita Hari Ini

Isu Salib: Tunggu Maklum Balas Pemaju

KERAJAAN Pulau Pinang sedang menunggu maklum balas daripada pihak pemaju berhubung isu lambang salib di Grace Residence di Jelutong dekat Georgetown, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya kini sedang menunggu Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus melengkapkan laporan berhubung isu terbabit.

Katanya, pihaknya juga beranggapan bahawa pemaju bangunan terbabit maklum mengenai penularan gambar terbabit di media sosial dan berharap mereka tampil memberi penjelasan mengenainya.

“Saya percaya ia adalah projek pangsapuri belum siap, selain difahamkan CCC (sijil perakuan siap dan pematuhan) bangunan terbabit masih belum diperolehi.

“Kontraktor mungkin dalam proses uji kemudahan, termasuk lampu dan kita masih belum dapat penjelasan pemaju tentang kenapa lampu itu sebegitu rupanya. Saya percaya ia bukan bangunan rumah ibadat, sebaliknya untuk dihuni,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Semalam, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta menyelesaikan isu lambang salib itu, selain orang ramai dinasihat sentiasa berhati-hati dan tidak mengeruhkan hubungan harmoni antara kaum.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dilapor berkata, ia mampu diselesaikan dengan mudah, jika semua pihak sedia bertolak ansur demi kebaikan bersama, selain Perlembagaan Persekutuan melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain dalam kalangan masyarakat Islam.

Kon Yeow berkata, orang ramai dinasihatkan supaya memajukan agenda persefahaman dan menghargai persekitaran sedia ada, selain perlu menjaga sensitiviti semua pihak bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Mungkin itu (lambang salib) tak selari dengan pandangan atau nilai kita, tetapi jika ia dilakukan tanpa sengaja ia tak akan mengungkitkan apa-apa. Kita harap pemaju ambil maklum tentang pandangan ini.

“Saya lihat ia (paparan lambang salib) tak ada niat untuk sakitkan mana-mana pihak tetapi seperti sebahagian daripada persekitaran sedia ada di Malaysia. Kita boleh nampak masjid, kuil, gereja di mana-mana sahaja.

“Kalau kita rasa diungkit, maka setiap masa dan saat kita ke mana-mana pasti akan terasa diungkitkan perasaan kerana ia (lambang atau rumah ibadat) adalah sebahagian daripada persekitaran sedia ada kita,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri perlu akur saranan mufti bagi menyelesaikan isu terbabit, yang antara lain disifatkan sebagai agak keterlaluan.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk memperbetulkan keadaan terbabit, sama ada ia disengajakan atau tidak, selain pentadbirannya menggalas tanggungjawab besar untuk menangani keresahan dalam kalangan umat Islam.

“Ini bukan soal kita enggan bertoleransi, apa yang berlaku ini terlalu mencolok mata dan boleh menimbulkan kegelisahan umum. Berdasarkan maksud itu, tindakan segera mesti diambil.

“Baik pemaju mahu pun pihak terbabit mesti dipanggil untuk siasatan lanjut. Pihak berkuasa mesti pastikan tidak ada unsur ‘sengaja mencetus keresahan awam’ dalam insiden ini.

“Tidak ada pilihan atau berdolak-dalih dan kerajaan negeri tak perlu ‘takut’ dengan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan atau menggugat keharmonian kaum, sama ada secara sengaja atau tidak,” katanya.-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");