Berita Hari Ini

Jangan Guna Aset Kerajaan, Main Isu Perkauman – SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memandang serius laporan pihak tertentu bahawa terdapat pihak yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands melakukan tindakan melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya seperti penggunaan aset kerajaan dan memainkan sensitiviti bangsa serta agama dalam kempen mereka.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan segera dengan Presiden Malaysian Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim selaku Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR bagi mengemukakan maklumat berhubung isu penggunaan kenderaan jabatan semasa berkempen dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Selain itu, katanya, SPR juga dimaklumkan bahawa satu laporan polis dibuat calon Barisan Nasional (BN) pada hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak polis.

“Justeru, SPR mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam aktiviti berkempen agar mematuhi undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya dengan tidak melaksanakan aktiviti kempen seperti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, program kerajaan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan untuk meraih undi.

“Jika aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 atau undang-undang lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai penggunaan kenderaan jabatan kerajaan yang mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang oleh dua lelaki yang memakai baju Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan tugasan parti dalam kempen PRK Parlimen Cameron Highlands.

Berdasarkan video itu, logo pada pintu kenderaan berkenaan bagaimanapun ditutup dengan bendera PH dan Jalur Gemilang, sebelum dikesan oleh beberapa individu lain.

Selain itu, Azhar turut mengingatkan bahawa kempen yang berunsur perkauman adalah salah di bawah Seksyen 4A AKPR 1954, manakala berkempen dengan menyentuh sensitiviti agama adalah pengaruh tidak wajar dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 9 AKPR 1954.

Katanya, ia berikutan terdapat laporan wujudnya isu berkenaan semasa aktiviti berkempen dijalankan.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua calon dan parti politik yang bertanding untuk memastikan segala aktiviti kempen PRK Parlimen Cameron Highlands tidak menyalahi undang-undang serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada pengundi di PRK berkenaan.

“Pada masa sama, setiap calon diingatkan untuk mematuhi Aku Janji Calon Semasa Tempoh Berkempen dan Hari Mengundi dalam setiap aktiviti berkempen yang dilakukan,” katanya.

Azhar berkata, dalam tempoh rasmi berkempen yang berbaki beberapa hari lagi, SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK itu bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.

“SPR juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas keprihatinan dan kerjasama dalam memantau perjalanan pilihan raya ini.

“Kesedaran ini menunjukkan bahawa Malaysia dan rakyatnya sentiasa mahukan proses pilihan raya yang telus dan adil kepada semua pihak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");