Sukan Hari Ini

Kebajikan Atlet: KBS Janji Tambah Baik, Tetapi Atlet Tidak Nampak Jalan Keluar

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjanji akan terus menambah baik urusan kebajikan atlet negara, termasuk selepas tamat daripada program sukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Menterinya, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan bekas atlet paralimpik Shukor Farhan Suliman dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy yang dilaporkan hidup terumbang-ambing selepas ditamatkan kontrak oleh MSN.

“Saya mendengar penjelasan yang diberikan oleh semua pihak. Keputusan ‘performance-based assessment’ dibuat oleh jawatankuasa dan ‘head coach’ setiap tahun.

“KBS melalui MSN akan terus menambah baik urusan kebajikan atlet negara, termasuk selepas tamat daripada program sukan bersama MSN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

FMT sebelum ini melaporkan, bekas atlet negara yang dahulunya dijulang sebagai penyumbang pingat emas negara pada Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur kini hidup terumbang-ambing selepas kontraknya ditamatkan MSN.

Bekas atlet paralimpik Shukor Farhan Suliman, 23 berkata, keputusan MSN itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan kerjaya sebagai atlet kebangsaan, sebaliknya meneruskan kehidupan dengan menjual buah jambu dan terlibat dalam perniagaan gunting rambut.

Seorang lagi atlet, Mohd Nur Syafiq Suhaimy, 27 juga kecewa dengan tindakan MSN menamatkan kontraknya dengan alasan sudah tidak mampu mengayuh basikal.

Ia selepas Nur Syafiq mengalami patah kaki kanan akibat kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pada September 2017, iaitu sehari sebelum Sukan Para Asean di Kuala Lumpur bermula.

Syed Saddiq berkata, inisiatif bersama universiti dan institusi TVET akan diperkasakan untuk memberikan biasiswa di samping memudahkan para atlet meneruskan pelajaran sewaktu menjalani latihan.

“Akhir tahun lepas kita dapat menjalinkan hubungan dengan 2 lagi universiti yang menjadikan keseluruhannya 7 universiti. ‘Target’ disasarkan adalah 1 universiti di setiap negeri di seluruh Malaysia pada hujung 2019, iaitu universiti yang memberi fleksibiliti belajar dan turut menerima biasiswa.

“Selain itu, inisiatif skim insurans para atlet sedang dikaji untuk diselaraskan dalam program sukan di bawah MSN dan satu ‘one stop centre’ (athlete centre) untuk memudahkan komunikasi bersama para atlet akan diwujudkan pada tahun ini,” katanya.

Atlet tidak jelas jaminan menteri

Dalam pada itu, bekas atlet paralimpik ditamatkan kontrak Shukor Farhan dan Mohd Nur Syafiq yang berpuas hati selepas berjumpa dengan Syed Saddiq tidak jelas mengenai bantuan yang akan diberikan oleh KBS dan MSN.

Shukor berkata, beliau sendiri tidak jelas apakah bentuk bantuan dan jaminan yang akan diberikan pihak kementerian atau MSN hasil pertemuan malam tadi.

“Kalau hendak ikutkan, sekarang tidak ada apa-apa jaminan daripada dia (Syed Saddiq). Saya juga tidak sempat tanya apakah kesimpulan daripada pertemuan tadi (malam tadi).

“Tidak dengar dari mulut Syed Saddiq apakah yang dia akan bantu. Bila kita jumpa secara peribadi dengan dia, harap sangatlah dia dapat bantu, sama ada bantuan daripada aspek dana mulakan perniagaan atau sebagainya,” katanya kepada FMT.

Mohd Nur Syafiq Suhaimy juga mempunyai pandangan sama, iaitu tidak diberikan jawapan khusus dalam pertemuan yang berlangsung hampir 2 jam itu.

“Dia (Syed Saddiq) cuma katakan akan usahakan apakah pekerjaan yang lebih sesuai demi masa depan saya, tetapi tidak pasti apakah pekerjaan itu dan bilakah ia akan diberikan. Syed Saddiq minta ketua pengarah uruskan.

“Beliau hendak dengar daripada kedua-dua belah pihak. Apa isu yang berlaku sebelum ini antara atlet dengan jurulatih, tetapi isu kebajikan memang dia persoalkan kepada MSN dan mengapakah kebajikan atlet tidak dijaga.

“MSN beri kami masa sebulan sahaja untuk cari penyelesaian selepas ditamatkan kontrak, jadi memang tidak cukuplah. Apabila Syed Saddiq berpihak kepada kami, memang kami lega,” katanya.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");