Perak Hari Ini

MB Perak Seru Golongan B40 Segera Daftar Nama DI LPHP

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru agar golongan B40 di negeri ini segera membuat pendaftaran dengan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Perak (LPHP).

Hal ini ekoran daripada sambutan dan penyertaan yang kurang menggalakkan golongan tersebut terhadap inisiatif kerajaan negeri yang sedang berusaha membangunkan rumah-rumah mampu milik di seluruh negeri.

Jelas Ahmad Faizal, langkah tersebut juga mampu membantu kerajaan negeri dalam meranca pembangunan rumah mampu milik di satu-satu kawasan.

“Perkara ini penting supaya kita dapat merancangkan sesuatu projek itu berdasarkan kepada keperluan dan permintaan penduduk tempatan.

“Dengan membuat pendaftaran bersama LPHP, bukan sahaja mampu membantu golongan B40 mendapat rumah idaman mereka malah ia turut sama memudahkan urusan kerajaan negeri untuk terus membantu mereka mendapatkan rumah,” katanya.

Selain itu katanya lagi, dengan membuat pendaftaran bersama LPHP, ia pada masa sama dapat juga membantu kerajaan negeri dalam mencapai sasaran membina 50,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Mampu Milik Apartmen Casa Kayangan @ Meru, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Timbalan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Mohamed Shafeii Abdul Gaffoor serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian, Ahmad Faizal berkata, hasil kajian pada tahun 2016, Perak mempunyai isi rumah kurang di bawah RM2,000 sebulan, selain 81.1 peratus isi rumahnya berpendapatan kurang RM6,000 sebulan.

Namun katanya, antara Januari 2014 sehingga November 2018, jumlah nama yang mendaftar dengan LPHP adalah kurang daripada 10,000.

“Saya ingin menyeru kepada golongan B40 di negeri ini yang belum memiliki rumah pertama, untuk mendaftar dengan LPHP.

“Kita tidak mahu wujud ketidakseimbangan antara penawaran projek rumah mampu milik berbanding dengan jumlah permohonan yang diterima oleh PKNP,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Yong Choo Kiong berkata, kerajaan negeri akan terus melipatgandakan usaha dalam mempromosikan inisiatif tersebut kepada umum.

Pendaftaran dengan LPHP boleh dibuat secara atas talian ataupun mendapatkan borang di pejabat-pejabat penghulu serta di semua pusat khidmat wakil rakyat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");