Berita Hari Ini

Peguam Rosmah Terima Dokumen Kes Rasuah Setebal 300 Muka Surat

KUALA LUMPUR: Peguam Datin Seri Rosmah Mansor sudah menerima semua dokumen kes rasuah setebal 300 muka surat membabitkan projek bersepadu sistem solar bagi sekolah luar bandar Sarawak yang dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah ketika kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Azman.

“Pihak kami menerima semua dokumen itu pada Rabu lalu dan sedang menelitinya bagi memutuskan sama ada untuk mengemukakan bantahan terhadap permohonan pendakwaan memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Akberdin berkata pihaknya menerima semua dokumen itu membabitkan 300 muka surat mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.

Difahamkan bahawa dokumen yang diterima itu membabitkan tender dan surat berkaitan projek bersepadu sistem solar.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang mewakili pihak pendakwaan mengesahkan bahawa pihaknya menyerahkan semua dokumen berkaitan kes kepada peguam bela.

Mohd Dusuki berkata, status permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi belum diputuskan.

Sehubungan itu, pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu bagi memaklumkan perkembangan terbaru kes berkenaan.

“Permohonan untuk memindahkan kes ini sudah dibuat tetapi belum ada keputusan kerana ada beberapa isu yang dibangkitkan pihak pembelaan,” katanya.

Hakim Azman kemudian menetapkan pada 15 Februari ini untuk sebutan semula.

Rosmah mengaku tidak bersalah meminta suapan berjumlah RM187,500,000 iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings), Saidi Abang Samsudin.

Ia sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini, antara Mac dan April 2016.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di No 11 Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan memetik laporan Berita Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");