Panasnya Hari Ini
Like

Pertandingan Empat Penjuru Di PRK Cameron Highlands

January 12, 2019
188 Views
0 Comments
2 minutes read
Pertandingan Empat Penjuru Di PRK Cameron Highlands

TANAH RATA: Pilihan Raya Kecil (PRK) P.078 Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Januari ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Pegawai Pengurus PRK P.078 Datuk Ishak Md Napis berkata beliau telah menerima kertas penamaan daripada empat calon dan tiada borang pencalonan yang ditolak.

“Mereka yang telah mengemukakan kertas-kertas penamaan adalah seperti berikut: Salehuddin Ab Talib (Bebas) pada jam 9.07 pagi, M Manogaran (PH) pada 9.10 pagi, Ramli Mohd Nor (BN) pada 9.11 pagi dan Wong Seng Yee (Bebas) pada 9.15 pagi.

“Saya telah semak kertas-kertas penamaan dan selepas selesai disemak, saya berpuas hati. Tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya pada sidang media di pusat penamaan calon PRK P.078 di SMK Tanah Rata hari ini lapor Astro Awani.

Manogaran adalah Timbalan Pengerusi DAP Pahang, manakala Ramli merupakan anak tempatan dan berketurunan Orang Asli.

Sementara itu, Wong, 40 tahun, seorang peladang, juga anak tempatan, dan Sallehudin, 61 tahun, seorang bekas pensyarah.

Sebelum ini, presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Cameron Highlands, namun awal hari ini beliau mengumumkan menarik diri.

Katanya, beliau dan MyPPP akan memberi sokongan penuh buat calon PH sepanjang tempoh kempen berlangsung hingga 25 Januari ini.

Hari pengundian awal ditetapkan pada 22 Januari yang akan melibatkan 247 pengundi awal daripada jumlah keseluruhan pengundi iaitu 32,009.

PRK Cameron Highlands diadakan semula selepas penyandangnya Datuk C Sivarraajh hilang kelayakan bertanding atas tuduhan rasuah.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari Pas (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran, 59 tahun, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu, memohon pengisytiharan keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Komen & Pendapat

Comments are closed.