Berita Hari Ini

Restoran Dimiliki Bukan Islam Diarah Turun Ayat Al-Quran

SHAH ALAM: Sebuah restoran di Sri Muda, Seksyen 25 di sini, diarah menurunkan ayat al-Quran yang digantung serta-merta berikutan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah sehingga boleh mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam.

Malah, satu bungkusan kuning turut ditemui tergantung di sebelah ayat al-Quran, yang dipercayai azimat, dalam satu pemeriksaan yang dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan berkata, pemeriksaan bersepadu jam 11 pagi itu dijalankan berdasarkan maklumat yang viral di media sosial mendakwa restoran berkenaan mengelirukan kerana menggantung ayat suci al-Quran walaupun tidak menganuti agama berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di premis itu turut mendapati ia dimiliki dua pemilik yang beragama Islam dan Hindu.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua pekerja beragama Hindu termasuk tukang masak dan hanya dua orang pekerja beragama Islam.

“Pemeriksaan kebersihan premis itu juga didapati pada tahap sangat tidak memuaskan dan terlalu kotor di bahagian pemprosesan. Kebanyakan peralatan di dapur terlalu kotor dan berdaki manakala makanan bahan mentah diletakkan di lantai.

“Produk daging kambing yang didapati di premis berkenaan juga didapati diperoleh daripada pembekal yang tidak mempunyai sijil halal SPHM yang sah.

“Selain itu, premis berkenaan menjual makanan yang diperoleh daripada pembekal luar menggunakan logo halal ‘generic’ (tidak diiktiraf) pada pembungkusan produk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Restoran berkenaan sebelum ini mendapat liputan media selepas satu salinan laporan polis dibuat pemiliknya tersebar, membabitkan aduan pekerjanya ditampar selepas menegur tiga pelanggan yang merokok dalam premis itu pada hari pertama penguatkuasaan larangan merokok di restoran dan premis makanan di negara ini.

Orang ramai terutama masyarakat beragama Islam, mempersoalkan status halal di restoran berkenaan selepas mendapati pemilik premis makanan itu bukan beragama Islam seperti yang dinyatakan dalam salinan laporan itu.

Malah, orang ramai turut mempersoalkan tulisan jawi pada papan tanda restoran berkenaan serta beberapa ayat al-Quran yang tergantung di premis itu.

Kata Salwana, JAIS sudah mengarahkan wakil premis untuk menurunkan ayat al-Quran di dalam restoran serta menutup tulisan jawi pada papan tanda premis sehingga memiliki sijil halal.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan JAIS mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah 1995 kerana menyebabkan agama Islam dipandang hina untuk tindakan pendakwaan.

“Kita juga sudah mengarahkan wakil premis itu untuk mendapatkan pembekal daging yang mempunyai sijil halal serta tidak menjual produk makanan yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf.

“Selain itu, pemilik premis diarah hadir ke Bahagian Pengurusan Halal JAIS untuk memberi keterangan.

“Semua perkara ini perlu dipatuhi dan jika gagal, tindakan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) APD 2011 akan diambil,” katanya.

Sementara itu, Salwana menasihatkan masyarakat Islam memilih dan mengutamakan premis yang memiliki SPHM sah.

“Pengguna perlu bijak dengan sentiasa menyemak status premis yang memiliki SPHM melalui laman sesawang rasmi JAIS iaitu www.jais.gov.my.

“Jika terdapat mana-mana premis yang diragui atau didapati melakukan kesalahan penyalahgunaan ungkapan dan penandaan halal, masyarakat disaran melaporkannya kepada pihak JAIS di talian 03-5514 3760 atau 03-55143486,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");